Citation
Sintian, Minah
(2017)
Variasi leksikal dalam dialek keluarga Dusun di Sabah.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Dusun merupakan keluarga bahasa dalam rumpun Kadazandusun yang terdiri
daripada tiga keluarga, iaitu Dusun, Murut dan Paitan. Keluarga Dusun terdiri
daripada 31 suku yang mempunyai dialek tersendiri dan tersebar luas di seluruh
pelusuk negeri Sabah. Kajian ini memfokuskan kepada 6 dialek dalam keluarga
Dusun, iaitu dialek Bunduliwan, Tangara, Tatana, Rungus, Dumpas dan Mangkaak.
Kerencaman dialek dalam keluarga Dusun mewujudkan isu kesalingfahaman antara
penutur dialek kesan daripada keadaan topografi dan jarak lokasi penutur. Objektif
kajian ini adalah untuk membandingkan kata kognat dialek Bunduliwan dengan
dialek-dialek lain dalam keluarga Dusun, menganalisis ciri-ciri leksikal yang
membezakan dialek keluarga Dusun dan merumuskan kekerabatan bahasa antara
dialek dalam keluarga Dusun. Pengkaji menggunakan pendekatan sosiolinguistik
dengan bersandarkan teori leksikostatistik untuk menjelaskan soalan dan objektif
kajian. Kajian yang bersifat sinkronik ini menggunakan reka bentuk penyelidikan
kualitatif. Data dikutip melalui kaedah pustaka dan lapangan terutama melalui
analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian. Sebanyak 207 kosa kata yang terdapat
dalam daftar kata Swadesh terjemahan bahasa Melayu telah digunakan sebagai
instrumen kajian bagi mendapatkan data leksikal keluarga Dusun. Kajian
menunjukkan bahawa terdapat kata kognat dan bukan kognat antara dialek
Bunduliwan dengan dialek-dialek lain. Kajian juga mendapati bahawa terdapat
perubahan bunyi pada leksikal dalam dialek-dialek secara sekata. Pasangan variasi
bunyi konsonan yang ditemui pada leksikal dalam kajian ini ialah bunyi /l/ dan /h/,
bunyi /r/ dan /l/, bunyi /l/ dan /d/, bunyi /h/ dan /s/, bunyi /w/ dan /v/, bunyi /y/ dan
/z/ serta bunyi /Ɂ/ dan /k/. Variasi ini tersebar di awal dan akhir perkataan, suku kata
kedua, ketiga dan suku kata akhir. Selain itu, perubahan bunyi juga berlaku apabila
bunyi konsonan digugurkan di awal, tengah dan akhir perkataan. Tahap kekerabatan
bahasa antara penutur dialek-dialek keluarga Dusun juga adalah tidak seragam, iaitu
terdapat hubungan kekerabatan yang rendah, sederhana dan tinggi. Kajian mendapati dialek Bunduliwan mempunyai hubungan kekerabatan yang agak tinggi dengan
dialek Tangara, iaitu sebanyak 85.37% sementara hubungan kekerabatan yang agak
rendah ditemui antara dialek Tatana dengan dialek Mangkaak, iaitu 50%. Kata bukan
kognat dan perubahan bunyi leksikal dalam dialek keluarga Dusun menjelaskan isu
kesalingfahaman antara penutur. Kajian ini memberi implikasi kepada pengayaan
dan pemantapan istilah serta kosa kata dalam mata pelajaran Bahasa Kadazandusun
yang diajar di sekolah rendah, menengah, institut pendidikan guru dan universiti
tempatan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |