Citation
Idris, Isnariah
(2017)
Medan semantik hati budi Melayu berdasarkan warkah Melayu lama.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Medan semantik merupakan lingkungan konsepsi yang mengandungi sekumpulan
leksikal yang saling berjalinan maknanya. Struktur pengkonsepsiannya yang
bertindihan berupaya memberikan pemaknaan yang jelas. Oleh itu, analisis makna
sesuai diaplikasikan untuk menentukan keperibadian dan pandangan sarwa sesuatu
masyarakat. Namun, kajian lepas berhubung dengan sifat, nilai atau pandangan
semesta sesuatu masyarakat kebanyakannya menggunakan pendekatan konseptual
yang hasilnya merujuk persepsi penyelidik. Sungguhpun demikian, terdapat kajian
yang mengaplikasikan teori medan semantik bagi menginterpretasikan konsep
pemaknaan, tetapi kajian tersebut berkisar tentang nilai keperibadian masyarakat
Melayu dan komponen terasnya sahaja. Ringkasnya, belum ada kajian medan
semantik yang menghuraikan pemaknaan sifat dan nilai orang Melayu seperti yang
tergambar dalam mana-mana penulisan, khususnya manuskrip lama. Melihatkan
kelompangan tersebut, kajian ini dilakukan dengan mengaplikasikan pendekatan
analisis medan semantik serta pengumpulan data melalui kaedah kepustakaan dan
analisis teks. 18 warkah Melayu lama abad ke-19 dianalisis secara kualitatif dan
dapatan dideskriptifkan berdasarkan model analisis yang dipelopori Toshihiko Izutsu
(1964) dan Syed Muhammad Naguib al-Attas (1970). Melalui pengaplikasian model
ini, konsep jalinan perkaitan makna antara kosa kata, dengan menginterpretasikan kata
fokus, kata kunci, dan rangkaian kesatuan makna dalam lingkungan konsepsi
keperibadian orang Melayu lama, khususnya golongan bangsawan dapat dikenal pasti.
Melalui penghuraian ini juga, pandangan sarwa serta peradaban masyarakat tersebut
dapat diterjemahkan. Hasil kajian telah menemukan sebanyak 57 ungkapan yang
berteraskan hati budi Melayu dalam warkah kajian. Ungkapan ini dikelompokkan
kepada lima pusat penumpuan makna, dan 73 kata kunci berserta makna asasinya yang
diinterpretasikan menerusi setiap ungkapan dalam kata fokus tersebut. Semua kata
kunci ini saling berangkaian maknanya dan dapat menggambarkan konsep sebenar
amalan, nilai kehidupan, dan kepercayaan masyarakat tersebut. Tuntasnya, dengan mengaplikasikan analisis medan semantik, semua ungkapan hati budi Melayu yang
dikenal pasti dapat memberikan gambaran sebenar keperibadian raja dan pembesar
Melayu abad ke-19 yang bukan sahaja “tulus” ketika melaksanakan sesuatu, malah
“bijak” merencanakan kehidupan, dengan tidak meminggirkan amalan “muafakat”
agar kewajipan dan “tanggungjawab” dapat ditunaikan mengikut syariat “Islam”.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |