Citation
Che Shaffine, Nurul Hilwany
(2017)
Ilmu dalam novel popular karya Aisya Sofea berdasarkan persuratan baru.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tesis ini memfokuskan terhadap soal ilmu dalam novel-novel popular karya Aisya
Sofea. Sebagai seorang novelis, novel-novel hasil nukilan Aisya Sofea sering dikaitkan
dengan Alaf 21 Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat penerbitan swasta yang terkenal dengan
penerbitan novel popular. Justeru, Alaf 21 Sdn. Bhd. dikatakan cenderung terhadap
selera penerbitan novel popular dan berorientasikan keuntungan material. Fokus
terhadap soal ilmu dalam novel-novel popular karya Aisya Sofea bertitik tolak daripada
sorotan literatur yang rata-rata menjelaskan adanya perbezaan pendapat dalam
kalangan sarjana dan pengkaji sastera. Di satu pihak, beberapa sarjana dan pengkaji
sastera berpendapat bahawa novel-novel popular karya Aisya Sofea hanya
memanipulasi tema-tema cinta sebagai strategi komersial, dan justeru dianggap
meminggirkan ilmu. Di pihak yang lain, ada yang berpendapat bahawa tema-tema cinta
dalam novel-novel popular karya Aisya Sofea mengandungi ilmu yang bermanfaat
kepada pembaca. Perbezaan pendapat ini dengan sendirinya menjadi permasalahan
yang menuntut kepada pengkajian lanjut. Dengan permasalahan ini, kajian ini
distrukturkan untuk mencapai dua objektif, iaitu menganalisis kedudukan ilmu dalam
novel-novel popular Aisya Sofea berdasarkan gagasan Persuratan Baru, dan
merumuskan kedudukan ilmu dalam novel-novel popular Aisya Sofea berdasarkan
gagasan Persuratan Baru. Bagi mencapai kedua-dua objektif tersebut, kajian ini
menganalisis tiga novel popular karya Aisya Sofea yang diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn.
Bhd. Kajian ini menerapkan gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) sebagai
kerangka analisis. Pemilihan kerangka analisis ini diasaskan kepada prinsip PB yang
membezakan antara “wacana” (discourse) dengan “cerita” (narrative), dan seterusnya
mengutamakan “wacana” (discourse) dalam pengkonsepsian sesebuah karya kreatif
seperti novel. Dengan menerapkan PB, analisis ini mencapai dua kesimpulan penting.
Pertama, novel-novel popular karya Aisya Sofea yang dikaji rata-rata dibangunkan
melalui manipulasi alat-alat penceritaan (narrative devices). Kedua, novel-novel
popular karya Aisya Sofea yang dikaji mengutamakan “cerita”, berbanding “wacana”
(discourse) atau ilmu. Hasil kajian ini diharap dapat menyumbang dalam merungkaikan
permasalahan tentang ilmu dalam novel-novel popular karya Aisya Sofea khususnya, dan sekali gus memperkayakan lagi korpus penyelidikan tentang novel-novel popular
di Malaysia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |