Citation
Mohd Noor, Amir Rullah
(2016)
Konflik politik dalam pemerintahan kesultanan Melayu dalam naskhah Tuhfat Al-Nafis dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertitik tolak daripada permasalahan yang mendapati bahawa
sehingga kini dan sepanjang yang diketahui, masih kurang kajian ilmiah yang
secara khusus meneliti soal konflik politik dalam pemerintahan, terutamanya
soal punca yang mencetuskan konflik-konflik tersebut dalam genre historiografi
Melayu, iaitu naskhah Tuhfat Al-Nafis dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.
Berlatar belakangkan permasalahan ini, kajian ini menggariskan dua objektif
iaitu menganalisis konflik politik dalam pemerintahan, dan merumuskan puncapunca
terjadinya konflik politik dalam pemerintahan dalam Kesultanan Melayu,
sebagaimana yang dimanifestasikan dalam kedua-dua naskhah yang dikaji.
Bagi merealisasikan kedua-dua objektif ini, kajian ini menerapkan pemikiran
Ibn Khaldun tentang politik dalam pemerintahan, sebagaimana yang diutarakan
dalam kitab karangan beliau yang terkenal bertajuk Mukadimah (1377 Masihi).
Pemikiran ini merujuk kepada pandangan Ibn Khaldun bahawa soal kezaliman
dan ketidakadilan, dan perebutan takhta dan kuasa dalam naskhah Tuhfat Al-
Nafis yang dianggap menjadi antara punca tercetusnya konflik politik dalam
pemerintahan, dan akhirnya membawa kepada kejatuhan sesebuah kerajaan
sekaligus peradaban manusia. Analisis terhadap kedua-dua naskhah yang
dikaji mendapati bahawa soal kezaliman dan ketidakadilan, dan perebutan
takhta dan kuasa dimanifestasikan sebagai punca-punca tercetusnya konflik
politik dalam pemerintahan dalam Kesultanan Melayu. Kajian ini mengenal
pasti enam peristiwa yang didapati memanifestasikan soal kezaliman dan
ketidakadilan sebagai punca tercetusnya konflik politik dalam pemerintahan.
Peristiwa-peristiwa tersebut ialah peristiwa ketika pemerintahan Paduka Seri
Maharaja di Singapura, peristiwa ketika pemerintahan Raja Iskandar Syah di
Singapura, peristiwa ketika pemerintahan Raja Mahmud di Melaka, peristiwa
ketika pemerintahan Sultan Mahmud II di Johor, peristiwa ketika pemerintahan
Raja Kecik, dan peristiwa ketika pemerintahan Sultan Sulaiman di Riau. Kajian
ini turut mengenal pasti enam peristiwa dalam naskhah Tuhfat Al-Nafis yang
didapati memanifestasikan soal perebutan takhta dan kuasa sebagai punca
tercetusnya konflik politik dalam pemerintahan. Peristiwa-peristiwa tersebut ialah peristiwa antara Raja Kecik dengan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah,
peristiwa antara Sultan Muhammad Zain al-Din dengan Pangeran Agung,
peristiwa antara Raja Kedah Tua dengan Raja Kedah Muda, dan peristiwa
antara Raja Alam dengan Tengku Mahmud. Manakala, peristiwa-peristiwa
dalam naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula ialah peristiwa antara
Tengku Ata’Allah dengan Tengku Ngah Putera, dan peristiwa antara Raja
Muda Tengku Ya’akob dengan Sultan Ahmad Tajuddin II. Hasil analisis
terhadap kedua-dua naskhah yang dikaji dengan sendirinya memperkukuhkan
pandangan Ibn Khaldun yang menggariskan soal kezaliman dan ketidakadilan,
serta perebutan takhta dan kuasa sebagai antara punca yang mencetuskan
pergolakan politik, dan seterusnya membawa kepada kejatuhan sesebuah
kerajaan dan sekaligus peradaban manusia. Hasil kajian ini diharap dapat
memperluaskan lagi korpus penyelidikan, khususnya terhadap karya-karya
historiografi Melayu dan sekurang-kurangnya memperkayakan lagi
kepustakaan ilmu dalam bidang kesusasteraan Melayu.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |