Citation
Razali, Asbah
(2016)
Faktor personal, interpersonal dan kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Di Malaysia jumlah penagih dadah yang kembali berulang didapati semakin
meningkat setiap tahun. Sungguhpun telah banyak usaha yang dijalankan oleh pihak
kerajaan untuk memastikan penagih dadah tidak berulang selepas mereka menerima
rawatan namun kadar peningkatan jumlah penagih dadah yang berulang masih lagi
berada pada tahap yang membimbangkan. Negara menanggung kos kerugian yang
tinggi akibat daripada masalah ini seperti kos menyediakan kemudahan rawatan dan
pemulihan, kos pengurusan program pencegahan dan kos bagi pemantauan oleh
anggota penguatkuasaan. Kebiasaannya bekas penagih dadah yang telah tamat
tempoh rawatan di pusat pemulihan mempunyai keazaman dan keyakinan yang tinggi
mereka akan berjaya menghindari diri daripada terjebak semula ke kancah penagihan,
namun tidak semua daripada mereka berjaya menghadapi tekanan dalam diri dan
tekanan sosial selepas mereka keluar daripada pusat rawatan dan pemulihan.
Sungguhpun pada hakikatnya mereka cuba untuk bertahan tetapi terdapat banyak
faktor yang menyebabkan mereka menyerah kalah dan kembali menggambil dadah
semula. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat perkaitan antara
faktor personal iaitu daya tindak dan efikasi diri; faktor interpersonal iaitu sokongan
keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat dengan kecenderungan
berulang. Kajian ini juga bertujuan untuk menentukan faktor peramal kepada
kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah dan mengenal pasti
peranan efikasi diri sebagai faktor pengantara ke atas hubungan antara faktor daya
tindak, faktor sokongan keluarga, faktor sokongan rakan-rakan dan faktor sokongan
masyarakat ke atas kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah.
Kajian ini melibatkan 242 orang bekas penagih dadah yang telah tamat tempoh
rawatan dan pemulihan dengan menggunakan empat instrumen iaitu Inventory of
Drug-Taking Situations, (IDTS) oleh Annis dan Martin (1985); Coping Strategy
Inventory (COPE) oleh Carver, Scheier dan Weintraub (1989); instrumen General Self
Efficacy, (GSE) oleh Sherer dan Maddux (1982) dan Social Provisions Scale (SPS)
oleh Russell dan Cutrona (1984). Dapatan kajian menunjukkan kecenderungan
berulang dalam kalangan bekas penagih dadah berada pada tahap yang tinggi bagi lapan dimensi kecenderungan berulang. Ini bermakna responden yang terlibat dalam
kajian ini berada dalam keadaan berisiko tinggi untuk berulang menagih dadah. Hasil
analisis deskriptif terhadap pemboleh ubah daya tindak menghadapi masalah, daya
tindak fokus emosi, daya tindak mengelak dan efikasi diri berada pada tahap yang
sederhana. Begitu juga analisis bagi pemboleh ubah sokongan keluarga, sokongan
rakan-rakan dan sokongan masyarakat turut berada pada tahap yang sederhana.
Seterusnya, analisis kolerasi bagi pemboleh ubah daya tindak menghadapi masalah,
daya tindak fokus emosi dan daya tindak mengelak, efikasi diri, sokongan keluarga,
sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat menunjukkan hubungan signifikan
yang negatif dengan kecenderungan berulang di mana kekuatan hubungan adalah
antara r=-.30 hingga r=-.70. Kajian juga mendapati enam pemboleh ubah peramal
didapati menyumbang kepada peramal kecenderungan berulang dan menunjukkan
regresi yang tinggi iaitu (R2 = .854), [F (6, 235) = 229.72, p<0.05] di mana sebanyak
85.4% varian menyumbang kepada kecenderungan berulang. Pemboleh ubah
sokongan keluarga adalah peramal yang paling utama menyumbang kepada
kecenderungan berulang diikuti dengan daya tindak fokus emosi, daya tindak
menghadapi masalah, sokongan rakan, efikasi diri dan daya tindak mengelak. Hasil
kajian juga mendapati efikasi diri secara signifikan merupakan pengantara kepada
hubungan daya tindak menghadapi masalah, daya tindak fokus emosi, daya tindak
mengelak, sokongan keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat
kerana wujud kesan tidak langsung yang signifikan. Ini bermakna ke semua pemboleh
ubah menghasilkan kesan langsung dan kesan tidak langsung ke atas kecenderungan
berulang melalui pemboleh ubah efikasi diri sebagai faktor pengantara. Oleh itu, hasil
kajian ini menunjukkan faktor personal dan interpersonal sangat penting bagi
mengurangkan masalah kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih
dadah yang telah tamat tempoh rawatan dan pemulihan. Dapatan ini selari dengan teori
dan model yang menjadi kerangka kerja teoritikal kajian ini yang mana individu yang
mempunyai daya tindak, efikasi diri dan sokongan sosial mampu bertahan apabila
mereka menghadapi kekecewaan. Justeru, dalam usaha untuk memerangi masalah
kecenderungan berulang, pihak kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsan dan
Cure and Care Rehabilitation Centre seharusnya mengambil kira faktor yang telah
dikenal pasti ini sebagai penyumbang utama kepada kecenderungan berulang dan
menjadikannya sebagai garis panduan untuk memantapkan lagi strategi membasmi
masalah berkenaan. Kajian masa hadapan dicadangkan agar menggunakan responden
yang lebih meluas serta menggunakan kaedah kualitatif.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |