Citation
Mohd Rosdi, Mohd Fadzli
(2016)
Hubungan antara kecenderungan pemikiran kritis, dan persekitaran pembelajaran kemahiran hidup bersepadu dengan tahap pemikiran kritis murid tingkatan dua.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kemahiran berfikir secara kritis (KBK) merupakan salah satu elemen yang
penting bagi melahirkan generasi yang berkemahiran dalam pemikiran aras
tinggi. Mewujudkan generasi yang mempunyai pemikiran aras tinggi adalah
menjadi salah satu agenda utama dalam pendidikan negara, ini terbukti
apabila Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan elemen
kemahiran berfikir aras tinggi seperti aplikasi, penaakulan dan penyelesaian
masalah (pemikiran kritis) di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 (PPPM) di bawah aspirasi murid (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2013). Begitu juga dengan mata pelajaran Kemahiran
Hidup Bersepadu, ia perlu menekankan kemahiran ini dalam pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir di
samping memiliki kemahiran pemikiran kritis yang tinggi bagi menghadapi
cabaran abad ke 21 yang sangat mencabar.
Kajian ini bertujuan untuk menentukan tahap kemahiran pemikiran kritis
murid, tahap kecenderungan pemikiran kritis murid dan persepsi murid
tentang persekitaran pembelajaran dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup
Bersepadu (KHB) tingkatan dua. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan
mengenal pasti hubungan antara kecenderungan pemikiran kritis dan
persekitaran pembelajaran dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup
Bersepadu (KHB) dengan tahap kemahiran pemikiran kritis murid.
Responden terdiri daripada 370 orang murid sekolah menengah kebangsaan
(SMK) di daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Kajian ini merupakan kajian
kuantitatif secara tinjauan (survey) dengan menggunakan borang soal
selidik. Instrumen kajian bagi penentuan tahap kemahiran pemikiran kritis
murid adalah menggunakan Ujian Pemikiran Kritis Cornell yang telah
diterjermahkan ke dalam Bahasa Melayu. Manakala tahap kecenderungan
pemikiran kritis murid diukur menggunakan University of Florida – Engagement, Maturity and Innovativeness (UF/EMI) yang diterjermahkan ke
dalam Bahasa Melayu dan persekitaran pembelajaran diukur menggunakan
Learning Environment Preferences (LEP) yang diubah suai dan
diterjermahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Dapatan kajian menunjukkan secara keseluruhannya tahap kemahiran
pemikiran kritis murid berada pada tahap lemah iaitu min 30.60 dengan
sisihan piawai ialah 6.10. Tahap kecenderungan pemikiran kritis murid
menunjukkan kecenderungan pemikiran kritis murid boleh dikatakan berada
pada tahap kuat iaitu min ialah 119.45 dengan sisihan piawai ialah 12.66.
Murid mempersepsikan bahawa persekitaran pembelajaran dalam mata
pelajaran KHB kerap menerapkan elemen pemikiran kritis. Secara
keseluruhan min ialah 3.56 dengan sisihan piawai sebanyak 0.62. Analisis
korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan positif dan lemah yang
signifikan antara tahap kecenderungan pemikiran kritis dengan tahap
kemahiran pemikiran kritis murid [r (370) = 0.16, p<.01]. Manakala tidak
terdapat hubungan yang signifikan antara persekitaran pembelajaran dengan
tahap kemahiran pemikiran kritis murid dalam mata pelajaran Kemahiran
Hidup Bersepadu (KHB) iaitu bersamaan dengan [r (370) = 0.08 (p < 0.10)].
Tahap kemahiran pemikiran kritis murid yang lemah akan memberi kesan
kepada murid untuk bersaing bagi menempuhi masa hadapan yang lebih
mencabar yang memerlukan murid berfikir lebih kritis dan kreatif. Kegagalan
murid untuk berfikir secara kritis dengan baik mungkin dapat dikaitkan
dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas
Kemahiran Hidup Bersepadu khususnya dan di sekolah amnya.
Manakala bagi kecenderungan pemikiran kritis, menunjukkan murid-murid
mempunyai kecenderungan untuk berfikir secara kritis yang tinggi dan ia
menunjukkan murid berpeluang untuk menjadi seorang pemikir kritis
sekiranya mereka diberi peluang dengan dipupuk sikap untuk melibatkan
diri dalam pemikiran kritis seperti aktiviti, pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas. Guru Kemahiran Hidup Bersepadu disarankan untuk
membangunkan sikap dan kecenderungan ini sama ada secara pendidikan
formal ataupun tidak formal seterusnya dapat melahirkan murid dan
warganegara yang berfikiran aras tinggi.
Bagi persekitaran pembelajaran di dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup
Bersepadu pula akan memberi kesan terhadap amalan pengajaran guru
iaitu perlu menekankan serta menerapkan elemen kemahiran berfikir secara
kritis dan perlu memupuknya di dalam kelas. Bukan setakat guru sahaja
memainkan peranan tetapi murid juga perlu memainkan peranan yang
seiring bagi mewujudkan suasana dan aktiviti di dalam kelas dapat
memupuk dan membudayakan pemikiran kritis.
Secara keseluruhan kemahiran pemikiran kritis murid perlu ditingkatkan.
Pihak guru di peringkat sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu
memainkan peranan yang lebih proaktif dalam meningkatkan kemahiran
pemikiran kritis murid dengan menekankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berlandaskan kemahiran pemikiran kritis dan pemantapan
pengajaran guru dengan latihan yang berterusan terhadap guru.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |