Citation
Ali Bashah, Mohd Helmi
(2016)
Pengaruh gaya kepimpinan dan kontrak psikologi terhadap tingkah laku inovasi dan pencapaian inovasi dalam sebuah organisasi ICT yang terpilih, Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini adalah berkaitan pengaruh Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi
terhadap Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi di dalam syarikat Telekom
Malaysia Berhad. Dalam pemerhatian pengkaji, kegagalan majikan dalam mengurus
pekerja untuk mencapai matlamat organisasi dan menjana idea-idea inovatif bukan
sahaja terletak kepada kelemahan dari segi penstrukturan kerja, kawalan kerja dan
kemudahan yang mencukupi tetapi pengurusan dari sudut motivasi, psikologi dan
kewajipan majikan terhadap hubungan di antara pemimpin dan pekerja juga adalah
penting. Justeru, pengkaji telah memilih Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi
sebagai pemboleh ubah bebas dan Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi
sebagai pemboleh ubah bersandar. Kajian menggunakan kaedah pensampelan rawak
kluster dan memilih responden melalui projek-projek yang telah diperolehi dari pusat
pengurusan projek. Dalam kajian ini, seramai 227 responden telah memberi maklum
balas soal selidik melalui talian Internet. Kajian ini menggunakan kaedah
penyelidikan kuantitatif seperti analisis deskriptif, korelasi dan regresi. Kajian juga
menggunakan SPSS untuk menghasilkan dapatan kajian.
Hasil kajian mendapati tahap bagi pemboleh ubah Gaya Kepimpinan Transformasi,
Gaya kepimpinan Laissez-Faire, Kontrak Psikologi Hubungan, Kontrak Psikologi
Majikan, Tingkah laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi yang diamalkan di dalam
organisasi ini adalah di tahap yang tinggi diikuti dengan Gaya Kepimpinan Transaksi
di tahap yang sederhana. Manakala, hanya Gaya Kepimpinan Transformasi dan
Kontrak Psikologi Majikan mempunyai hubungan yang positif dan signifikan
terhadap Tingkah Laku Inovatif. Walau bagaimanapun, kesemua pemboleh ubah
bebas dalam kajian ini mempunyai hubungan positif dan signifikan terhadap
Pencapaian Inovasi. Seperti yang ditunjukkan dalam analisis regresi yang telah
dijalankan, kajian mendapati bahawa Gaya Kepimpinan Transformasi dan Kontrak
Psikologi Majikan adalah pemboleh ubah peramal dan menyumbang 9.6 peratus
kepada Tingkah Laku Inovatif. Manakala, Kontrak Psikologi Hubungan pula adalah
pemboleh ubah peramal dan menyumbang 21.9 peratus kepada Pencapaian Inovasi. Kajian ini menyarankan untuk meningkatkan pengaruh terhadap Tingkah Laku
Inovatif dan Pencapaian Inovasi, Pengurus Projek seharusnya dapat mengenal pasti
kehendak pekerja untuk membantu percambahan idea yang inovatif dengan
memenuhi kehendak dan keperluan pekerja dalam menjalankan sesuatu tugas yang
telah diberikan. Kajian juga mencadangkan bahawa Pengurus Projek harus
mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang baik dalam mengurus sumber
manusia. Kajian telah merumuskan bahawa Gaya Transformasi Pengurus Projek
merupakan agen yang penting dalam memotivasikan pekerja untuk menghasilkan
lebih banyak output dan idea-idea yang inovatif. Manakala, Kontrak Psikologi
Majikan dan Kontrak Psikologi Hubungan dapat memperkukuhkan lagi dan turut
menyumbang kepada Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi. Kajian juga
telah mendapati bahawa tidak semua dimensi di dalam Gaya Kepimpinan dan
Kontrak Psikologi merupakan faktor dan pengaruh terhadap Tingkah Laku Inovatif
pekerja dan Pencapaian Inovasi. Terdapat faktor-faktor lain lagi yang mungkin dapat
menyumbang kepada Tingkah Laku Inovatif pekerja dan Pencapaian Inovasi.
Pengkaji mengharapkan hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada pengkaji
yang lain mahupun organisasi yang memerlukan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |