Citation
Dawi, Noor Fadilah
(2016)
Penggunaan 'aku' dalam kalangan masyarakat Lahad Datu, Sabah, Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Penggunaan ‘aku’ merupakan salah satu aspek berbahasa yang penting dalam
perbualan seharian kerana penggunaan yang salah akan menggambarkan individu itu
tidak santun dalam berbahasa. Penggunaan ‘aku’ dalam perbualan juga akan
menimbulkan implikasi sosial sekiranya tidak digunakan mengikut kesesuaian
konteks dan budaya. Hal ini kerana ‘aku’ dikaitkan penggunaannya dengan pesapa
yang akrab iaitu mempunyai hubungan rapat atau setaraf sahaja dengan penyapa.
Penggunaannya akan dianggap kasar jika digunakan terhadap pesapa yang perlu
dihormati.
Berdasarkan pemerhatian dan penelitian pengkaji, penggunaan ‘aku’ dalam kalangan
masyarakat di Sabah tidak hanya digunakan dalam hubungan yang akrab atau setaraf
bahkan terhadap orang yang perlu dihormati termasuklah kepada ibu bapa sendiri.
Oleh yang demikian, penggunaan ‘aku’ bagi masyarakat di Sabah, khususnya
masyarakat Lahad Datu akan dikaji dalam tesis ini. Kajian dilakukan berdasarkan
tiga objektif, iaitu untuk mengenal pasti penggunaan ‘aku’ dalam kalangan
masyarakat Lahad Datu mengikut status dan usia, menganalisis penggunaan ‘aku’
dalam kalangan masyarakat Lahad Datu menggunakan Komponen Komunikasi
Saville-Troike (1991) dan merumuskan penggunaan ‘aku’ dalam kalangan
masyarakat Lahad Datu.
Untuk itu, kaedah pemerhatian dan temu bual digunakan untuk tujuan pengumpulan
data. Penggunaan Model Sistem Sapaan Mengikut Pasangan atau Diad serta
Tahapnya (Amat Juhari Moain, 1989) dan Komponen Komunikasi Saville-Troike
(1991) pula dijadikan sebagai panduan dalam proses penganalisisan data. Hasil
kajian mendapati bahawa penggunaan ‘aku’ dalam kalangan masyarakat Lahad Datu
bukan sahaja digunakan terhadap individu yang akrab atau setaraf dengan mereka,
tetapi juga terhadap ahli dalam keluarga asas, ahli dalam keluarga lebih luas dan ahli
dalam komuniti lebih luas. Penggunaan ‘aku’ dalam kalangan masyarakat Lahad
Datu juga dapat dimanifestasikan penggunaannya dalam lima konteks, iaitu konteks kesantunan, konteks kekuasaan, konteks keakraban, konteks kemesraan dan konteks
kekitaan. Justeru, dapatlah dikatakan bahawa ‘aku’ digunakan oleh masyarakat
Lahad Datu dalam perbualan seharian mereka dengan mengekalkan keunikan
berbahasa dalam penggunaannya yang tersendiri.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |