Simple Search:

Hubungan antara kepercayaan, penerimaan, pengetahuan dengan sikap terhadap amalan pertanian lestari dalam kalangan pensyarah pertanian


Citation

A. Ghani, Mohd Redzwan Khusyairi (2016) Hubungan antara kepercayaan, penerimaan, pengetahuan dengan sikap terhadap amalan pertanian lestari dalam kalangan pensyarah pertanian. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract / Synopsis

Amalan pertanian lestari merupakan amalan pengeluaran tanaman dan ternakan dalam satu sistem bersepadu yang menitikberatkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam jangka masa panjang (Gold, 1999). Manakala amalan pertanian konvensional bagaimanapun meletakkan penekanan kepada ekonomi dan kecekapan pengeluaran hanya pada jangka masa pendek (Conway, 1997). Amalan pertanian konvensional dilihat banyak memberi masalah berkaitan pertanian seperti kemarau berpanjangan, tanah tidak subur, jerebu, pencemaran air dan tanah runtuh yang sering melanda negara kita sejak akhir-akhir ini. Menyedari kepentingan ini, peranan pensyarah pertanian sebagai salah satu agen perubahan hendaklah mempunyai sikap yang positif terhadap amalan pertanian lestari yang dapat mempengaruhi tingkah laku mereka khususnya dalam pengajaran amalan pertanian lestari kepada pelatih kursus pertanian. Hal ini penting bagi melahirkan pekerja mahir pertanian yang menitikberatkan terhadap amalan pertanian lestari pada masa hadapan. Oleh itu, pensyarah pertanian digalakkan mempunyai sikap positif terhadap amalan pertanian lestari supaya dapat menerapkan amalan tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seterusnya dapat mengubah pemikiran pelatih kursus pertanian terhadap kepentingan amalan pertanian lestari. Justeru, tujuan kajian ini adalah untuk untuk mengenal pasti kepercayaan, penerimaan, persepsi pengetahuan serta hubungannya dengan sikap terhadap amalan pertanian lestari dalam kalangan pensyarah pertanian. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik. Soal selidik telah dibangunkan berdasarkan kajian sebelumnya untuk mengukur kepercayaan, penerimaan, persepsi pengetahuan dan sikap terhadap amalan pertanian lestari dalam kalangan pensyarah pertanian. Sampel kajian ini diambil menggunakan kaedah persampelan rawak berlapis berkadar dan seramai 226 pensyarah pertanian yang mengajar Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) dan Kursus Pertanian Kolej Vokasional (KPKV) di Semenanjung Malaysia telah dipilih sebagai sampel. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa majoriti pensyarah pertanian berada pada tahap positif kepercayaan mereka terhadap amalan pertanian lestari (M=3.94, SP=.319). Majoriti daripada pensyarah pertanian juga menunjukkan berada pada tahap tinggi penerimaan dan persepsi pengetahuan mereka terhadap amalan pertanian lestari (M=4.10, SP=.455) dan (M=3.62, SP=.728). Manakala bagi sikap terhadap amalan pertanian lestari, majoriti pensyarah pertanian menunjukkan tahap sikap positif terhadap amalan pertanian lestari (M=3.99, SP=.414). Analisis korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kepercayaan dan sikap pensyarah pertanian terhadap amalan pertanian lestari tetapi kekuatan hubungan adalah rendah (r= .410, p<.05). Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara penerimaan dan sikap pensyarah pertanian terhadap amalan pertanian lestari tetapi kekuatan hubungan adalah rendah (r=.408, p<.05). Di samping itu, terdapat hubungan yang signifikan antara kepercayaan dan penerimaan pensyarah pertanian terhadap amalan pertanian lestari tetapi kekuatan hubungan adalah sederhana (r=.509, p<.05). Manakala terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi pengetahuan dan sikap pensyarah pertanian terhadap amalan pertanian lestari tetapi kekuatan hubungan adalah sedikit (r=.227, p<.05). Oleh itu, kepercayaan, penerimaan, persepsi pengetahuan pensyarah pertanian terhadap amalan pertanian lestari mempunyai hubungan kepada sikap mereka terhadap amalan tersebut. Tahap sikap yang positif terhadap amalan pertanian lestari dalam kalangan pensyarah pertanian akan menyumbang kepada peningkatan tingkah laku mereka iaitu pengajaran amalan pertanian lestari kepada pelatih kursus pertanian. Pengajaran amalan pertanian lestari secara berterusan oleh pensyarah pertanian akan menjadikan pelatih kursus pertanian mengambil berat mengenainya, mencuba untuk mengamalkannya seterusnya mempraktikkan amalan pertanian lestari apabila menceburi dalam bidang pertanian kelak.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2016 9IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Sustainable agriculture
Subject: Education, Higher
Call Number: FPP 2016 9
Chairman Supervisor: Mohd Ibrahim Bin Nazri, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 08 Oct 2018 14:41
Last Modified: 08 Oct 2018 14:41
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/65670
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item