Citation
Jaman, Jiani
(2015)
Pelaksanaan program pemulihan bahasa melayu sekolah rendah dan kesannya dalam mengatasi masalah buta huruf.
Post-Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian yang dilaksanakan ini adalah kajian berbentuk kualitatif yang dijalankan untuk mengkaji pelaksanaan program pemulihan Bahasa Melayu sekolah rendah. Pelaksanaan program pemulihan dalam kajian ini merujuk kepada pengajaran guru pemulihan di dalam bilik darjah dengan melihat penggunaan kaedah membaca guru, meneliti
penggunaan bahan bantu mengajar guru dan peranan pentadbir dalam pelaksanaan program pemulihan ini. Kajian ini menghuraikan tentang pelaksanaan program pemulihan yang bertujuan membantu murid menguasai kemahiran membaca. Kedua,menerangkan cara pengajaran guru pemulihan di dalam bilik darjah dan ketiga,menjelaskan bagaimana peranan pentadbir dalam membantu pelaksanaan program
pemulihan Bahasa Melayu. Pengkaji menggunakan reka bentuk kajian kes, iaitu satu kes pelbagai lokasi. Gabungan maklumat kajian ini diperoleh menerusi kaedah pemerhatian, rakaman audio, temu bual separa berstruktur serta analisis dokumen yang berkaitan. Data-data dalam kajian ini dianalisis secara induktif bagi membolehkan
pengkaji memahami fenomena yang dikaji secara keseluruhan. Penganalisisan data juga dibuat menggunakan teknik triangulasi terhadap ketiga-tiga kaedah pemerhatian iaitu rakaman audio, temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen. Kajian ini
melibatkan empat orang guru pemulihan yang dipilih sebagai peserta kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan program pemulihan Bahasa Melayu di
sekolah rendah ini perlu diteruskan memandangkan ramai murid yang belum menguasai kemahiran membaca. Punca kecemerlangan program ini adalah berfokus kepada pengajaran guru. Setiap murid yang belum menguasai kemahiran membaca perlu diajar dan dibimbing bermula daripada mengenal, mengecam dan menyebut huruf
dan suku kata, membatang suku kata dan membaca ayat. Kerjasama daripada guru kelas, guru mata pelajaran, guru pemulihan dan pihak pentadbir amat penting untuk
menjayakan pelaksanaan program pemulihan di sekolah rendah.
Penyampaian pengajaran guru pemulihan dalam bilik darjah yang memperlihatkan ciriciri pengajaran konvensional amat sukar membantu murid-murid pemulihan ini menguasai kemahiran membaca. Rasional yang diberi oleh peserta kajian atas dapatan tersebut adalah merujuk kepada pengurusan masa, keadaan murid yang selalu ponteng
sekolah dan tekanan sebagai guru pemulihan untuk merealisasikan harapan pentadbir sekolah. Manakala penyampaian guru pemulihan yang kreatif akan menghasilkan
murid-murid yang berjaya menguasai kemahiran membaca dan akhirnya tidak perlu lagi mengikuti kelas pemulihan. Guru-guru pemulihan ini akan mengajar berpusatkan
murid, menggunakan kaedah membaca yang sesuai iaitu kaedah abjad/huruf, kaedah gabungan bunyi kata, kaedah pandang dan sebut serta kaedah cerakin mengikut tahap
pencapaian murid dan penggunaan bahan bantu mengajar yang berkesan, berfaedah,berfokus dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Pihak pentadbir yang sering
memberi kerjasama dalam pelaksanaan program pemulihan ini dapat menampakkan kejayaannya dalam mengurangkan masalah buta huruf. Maka penyampaian pengajaran guru dalam kelas pemulihan dilihat juga sebagai satu usaha menyediakan murid-murid ke arah cemerlang.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |