Citation
Maula Mokhatar, Harmiza
(2015)
Persepsi antara etnik dan impaknya terhadap hubungan etnik dalam kalangan belia Melayu dan Cina di Semenanjung Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih dari 58 tahun tetapi adakah stereotaip tentang sesuatu etnik yang terbentuk telah dapat disisihkan atau dibuktikan masih menjadi persoalan yang belum terjawab. Pada masyarakat Melayu, persoalannya adakah orang Cina masih dilabelkan sebagai ahli perniagaan, pemilik kedai atau penjaga kedai? Adakah golongan profesional India masih digambarkan sebagai peguam yang berkarisma, celik IT atau pengurup wang? Kepercayaan tetap atau stereotaip yang positif akan meningkatkan hubungan dan komunikasi yang lebih sihat antara etnik yang berbeza. Sebaliknya pula bagi stereotaip yang negatif, ia akan mencetuskan ketidakhirauan serta permusuhan. Sejak mencapai kemerdekaan, sebagai negara membangun yang masih muda, Malaysia berusaha untuk mencapai keharmonian dalam kalangan etnik. Namun, Malaysia tetap menghadapi halangan-halangan yang telah timbul seperti rusuhan kaum yang pernah tercetus, iaitu peristiwa 13 Mei dan insiden Kampung Medan 2001. Salah satu cabaran pada ketika itu adalah bagaimana untuk mengelakkan identifikasi rakyat Malaysia berdasarkan etnik. Pemahaman yang mendalam terhadap persepsi antara etnik adalah amat penting untuk kestabilan politik dan integrasi sosial dalam negara. Kajian yang dijalankan ini melihat sejauh mana darjah persepsi antara etnik di Malaysia secara amnya. Dengan melihat tahap persepsi tersebut, dapat dianggarkan sejauh mana hubungan sosial antara etnik Melayu dan Cina terutamanya dalam kalangan belia. Kajian ini juga ingin meneliti apakah faktor yang mempengaruhi pembentukan sesuatu persepsi dalam sesebuah etnik. Pembentukan sesuatu persepsi kadangkala disebabkan perasaan tidak puas hati dan akhirnya mencetuskan perbalahan. Pembentukan sesuatu persepsi juga boleh berubah dari sesuatu yang negatif kepada sesuatu yang positif apabila terdapat pengalaman atau peristiwa yang menggembirakan. Melalui kajian ini, kesan daripada persepsi terhadap kumpulan etnik yang dapat diketahui dan pelbagai langkah boleh dibentuk bagi menyedarkan masyarakat akan stigma yang mereka berikan boleh membuat individu lain tersinggung. Kajian ini berbentuk kajian tinjauan, iaitu dengan menggunakan borang soal selidik. Kajian tinjauan mampu memperoleh maklumat atau data daripada sampel yang dipilih daripada populasi dengan menggunakan soalan berstruktur. Seramai 461 responden terlibat iaitu 231 orang adalah terdiri daripada belia Melayu manakala 230 terdiri daripada belia Cina. Hasil kajian memperlihatkan majoriti responden Melayu dan responden Cina di ketiga-tiga lokasi kajian memberikan pola respon yang sama. Walaupun wujud persepsi yang negatif, ia tidak memberi impak negatif ke atas kepercayaan dan pergaulan seharian. Secara amnya, belia Melayu dan Cina di ketiga-tiga kawasan setuju dengan pernyataan bahawa stereotaip tidak memberi kesan ke atas hubungan dengan etnik berlainan. Walau bagaimanapun, responden berpandangan mereka tetap perlu berhati-hati apabila berurusan dengan etnik berlainan. Hasil dapatan kajian mendapati hanya belia Cina di Kuala Terengganu memandang tinggi etnik lain dan boleh bekerjasama dengan mereka berbanding belia Cina di Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Ini mungkin disebabkan oleh populasi etnik Cina yang lebih kecil berbanding di Kelantan dan Kuala Lumpur. Justeru, mereka lebih rapat dan bergaul dengan etnik Melayu. Berbeza dengan responden Melayu, hanya responden Melayu di Kota Bharu yang memandang tinggi etnik lain. Kesemua responden Melayu berasa lebih selesa bergaul dalam kelompok etnik yang sama. Ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak dapat keluar dari zon selesa masing-masing.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |