Citation
Awang, Abd Hair
(2004)
Keberkesanan Kebolehpasaran Pelatih Dalam Industri Latihan Vokasional Terpilih Di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pelaburan terhadap latihan kemahiran terns meningkat pesat berbanding beberapa dekad
lalu untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan ekonomi berasaskan pengetahuan. Kerajaan
menyarankan agar institusi latihan kemahiran awam dinilai selalu untuk mempastikan
kecekapan dan keberkesanan program latihannya tercapai. Walau bagaimana pun, kajian
tempatan hanya menfokuskan keberkesanan program latihan sahaja. Penelitian tempatan
terhadap perbandingan keberkesanan program di antara institusi latihan kemahiran awam
juga masih terhad. Kelembapan ekonomi dan diikuti pula peningkatan pengangguran
belia mengukuhkan lagi justifikasi untuk mengkaji keberkesanan program latihan
kemahiran pra-pekerjaan yang dijalankan oleh institusi latihan ini bagi mempertingkatkan
lagi keberkesanannya. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan membandingkan
keberkesanan program latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi latihan
kemahiran awam di Malaysia.
Dua buah institusi latihan kemahiran awam dipilih untuk kajian ini. Tinjau selidik
susulan berurutan dan temubual mendalam digunakan untuk mencapai objektif utama
kajian ini. Seramai 180 pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut
Kemahiran MARA (IKM) dipilih sebagai responden mengikut kadar dan distratakan mengikut lokasi setiap institusi latihan. Sebagai tambahan, 10 majikan di sektor
pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dipilih untuk menjelaskan ketrampilan pelatih
di tempat kerja. Dua peringkat pengutipan data dilakukan. Di peringkat pertama, 98
peratus responden memberikan maklumbalas soal selidik yang diedarkan pada akhir
program latihan (akhir Mei dan awal Jun 2002). Di peringkat kedua pula, 89 peratus
responden memberikan maklumbalas menerusi telefon dan soal selidik secara pos selepas
setahun pelatih tamat latihan (akhir Jun 2003). Temubual mendalam terhadap majikan
juga dijalankan di peringkat ini. Ujian t dan khi kuasa dua (2) digunakan untuk
membandingkan kualiti perkhidmatan latihan, kebolehpasaran dan pendapatan serta kos
latihan antara lepasan ILP dan IKM. Regresi logistik multinomial digunakan untuk
mengenalpasti penentu empat bentuk kebolehpasaran pelatih (menganggur, melanjutkan
pelajaran, bekerja bukan bidang dan bekerja mengikut bidang kemahiran) yang meliputi
faktor berkaitan pelatih, faktor institusi latihan, hasil pembelajaran dan faktor pasaran
buruh.
Kajian ini mendapati dengan kos purata latihan yang sama, IKM menawarkan kualiti
perkhidmatan latihan dan pembelajaran di tempat kerja yang lebih baik. Kajian ini juga
mendapati pelatih IKM lebih menguasai kemahiran bolehkerja berbanding pelatih ILP.
Namun demikian, kesemua pelatih masih rendah dalam menguasai kemahiran
berkomunikasi dan komputer. Sedangkan kemahiran inilah yang turut ditekankan oleh
majikan. Bukti empirikal menunjukkan pelatih lepasan IKM memiliki kelebihan
berbanding di pasaran buruh. Mereka lebih mudah melanjutkan pelajaran, lebih cepat
memperolehi pekerjaan mengikut bidang kemahiran serta gaji semasa yang lebih tinggi.
Penemuan ini, memberikan justifikasi agar ILP menyesuaikan program latihannya supaya
tidak terlalu menumpukan kemahiran pekerjaan spesifik tetapi menyepadukan
kepelbagaian kemahiran yang sangat dituntut oleh pasaran. Pelatih yang berjaya di
pasaran buruh menguasai kemahiran teknikal dan kemahiran bolehkerja, serta berada atau
sudi berhijrah ke bandar dan wilayah yang mengalami pertumbuhan pesat. Selari dengan
penemuan ini, langkah menyebarkan pertumbuhan ekonomi ke kawasan kurang maju,
meningkatkan kemahiran teknikal dan kemahiran bolehkerja boleh membantu
meningkatkan lagi keberkesanan program latihan kemahiran.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |