Citation
Mokhtar, Nurul 'Alyaa Adillah
(2015)
Pengurusan kewangan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Masalah muflis dalam kalangan golongan muda yang kian meningkat saban tahun menimbulkan persoalan adakah golongan muda di negara ini tidak cukup kompeten dalam mengendalikan hal kewangan mereka. Persoalan ini mungkin tidak akan timbul jika golongan muda dibekalkan dengan kompetensi kewangan yang sewajarnya bermula dari seawal usia lagi. Ini kerana, usia kanak-kanak merupakan tempoh perkembangan kanak-kanak yang paling penting kerana pada peringkat ini kanakkanak menerima serta mempelajari perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Jika sejak kecil kanak-kanak telah diajar dengan pengurusan kewangan yang berhemah, ianya mungkin boleh mengurangkan masalah kewangan termasuk isu muflis pada masa hadapan. Kompeten dalam menguruskan kewangan merupakan salah satu komponen yang penting kepada kanak-kanak bagi memastikan kanak-kanak menjadi pengurus kewangan yang bijak apabila dewasa kelak. Penyelidikan ini bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kompetensi kewangan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kajian ini melibatkan 400 orang pelajar daripada sepuluh buah sekolah yang dipilih secara persampelan rawak berperingkat. Borang soal selidik digunakan dalam pengumpulan data. Penganalisisan data dibahagikan kepada analisis diskriptif dan inferensi yang melibatkan analisis Ujian Korelasi Pearson, Ujian-t dan Ujian Regresi Pelbagai. Kutipan data telah dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik yang diselia sendiri oleh responden pada tahun 2013. Terdapat tujuh pemboleh ubah yang dikaji dalam kajian ini iaitu jantina, tahap pendidikan bapa, tahap pendidikan ibu, literasi kewangan, tingkah laku kewangan, sosialisasi kewangan dan kompetensi kewangan. Hasil ujian korelasi Pearson menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara literasi kewangan dengan kompetensi kewangan (p <0.01). Terdapat perbezaan yang signifikan tahap pendidikan ibu bapa dengan kompetensi kewangan (p<0.01). Seterusnya analisis regresi pelbagai digunakan bagi menjelaskan faktorfaktor yang menyumbang kepada kompetensi kewangan kanak-kanak. Berdasarkan hasil ujian regresi pelbagai, kesemua pemboleh ubah menjelaskan sebanyak 25.7% varians bagi kompetensi kewangan. Berbanding tiga pemboleh ubah bebas (literasi kewangan, tingkah laku kewangan dan sosialisasi kewangan), literasi kewangan dan tingkah laku kewangan memberi sumbangan yang signifikan kepada varians. Secara keseluruhannya, literasi kewangan merupakan faktor peramal yang paling kuat bagi menjelaskan kompetensi kewangan dalam kalangan kanak-kanak (Beta=.343). Secara kesimpulannya, kajian mendapati kompetensi kewangan dipengaruhi oleh literasi kewangan dan tingkah laku kewangan. Ini menunjukkan kanak-kanak perlu diterapkan dengan literasi kewangan serta tingkah laku kewangan yang sewajarnya bagi membina kompetensi kewangan dalam diri kanak-kanak. Secara amnya, dengan adanya literasi, seseorang dapat bertingkah laku mengikut apa yang dipelajarinya dan secara tidak langsung ianya dapat membina kompetensi dalam diri seseorang untuk melakukan sesuatu perkara dalam kehidupannya.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |