Citation
Md Zaini, Norzalika
(2015)
Kesejahteraan kewangan dan penggunaan lestari dalam kalangan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kesejahteraan kewangan juga tidak dapat dicapai sekiranya pengguna sering menghadapi masalah kewangan akibat kurang pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan terutamanya dalam menguruskan perbelanjaan dan simpanan. Ia boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada krisis kewangan terutamanya pada waktu kecemasan. Dalam mengurangkan masalah kemiskinan akibat daripada ketidakcukupan sumber kewangan adalah dengan mengamalkan penggunaan lestari dalam kehidupan. Selain dapat mengurangkan masalah kemiskinan juga dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, kesihatan, keselamatan dan melindungi alam sekitar. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti kesejahteraan kewangan dan penggunaan lestari dalam kalangan pengguna di Semenanjung Malaysia. Kajian ini turut mengenal pasti tahap pengetahuan penggunaan lestari, sikap terhadap penggunaan lestari, amalan penggunaan lestari dan kesejahteraan kewangan. Dalam pada itu, untuk menentukan perkaitan antara umur, pendidikan, pengetahuan penggunaan lestari dan sikap terhadap penggunaan lestari dengan amalan penggunaan lestari dan kesejahteraan kewangan serta amalan penggunaan lestari dengan kesejahteraan kewangan. Seterusnya, menentukan perbandingan dalam amalan penggunaan lestari dan kesejahteraan kewangan berdasarkan pendapatan isi rumah. Begitu juga, menentukan sama ada faktor latar belakang dan tingkah laku penggunaan lestari mempengaruhi kesejahteraan kewangan pengguna. Data dalam kajian ini merupakan data sekunder diperoleh daripada kajian yang dilakukan kumpulan penyelidik Universiti Putera Malaysia (UPM) di bawah projek RUGS yang bertajuk “Perumahan Lestari Ke arah Kesejahteraan Pengguna”. Sampel kajian terdiri daripada 400 orang ahli isi rumah yang mewakili empat negeri di setiap zon di Semenanjung Malaysia dipilih melalui teknik persampelan rawak berperingkat. Kajian tersebut dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik. Analisis statistic yang digunakan adalah ujian Korelasi Pearson, ujian-t dan ujian Regresi Pelbagai dengan menggunakan Statistical Package For Social Science (SPSS). Hasil kajian mendapati bahawa tahap pengetahuan penggunaan lestari, amalan penggunaan lestari dan kesejahteraan kewangan pengguna berada pada tahap sederhana, manakala sikap terhadap penggunaan lestari adalah di tahap positif. Analisis Korelasi Pearson menunjukkan perkaitan yang positif antara pengetahuan (r=0.455, p=0.0001), manakala sikap terhadap penggunaan (r= -0.355, p=0.0001) pula mempunyai hubungan negatif dengan amalan penggunaan lestari. Begitu juga terdapat perkaitan dalam kesejahteraan kewangan berdasarkan umur (r=0.127, p=0.011), pendidikan (r=0.192, p=0.0001) dan pengetahuan penggunaan lestari (r=0.130, p=0.009), manakala dengan amalan penjimatan tenaga elektrik (r=-0.200, p=0.0001) mempunyai perhubungan yang negatif. Bagi ujian-t pula, menunjukkan terdapat perbandingan dalam kesejahteraan kewangan berdasarkan pendapatan isi rumah. Hasil ujian Regresi Pelbagai menunjukkan bahawa enam angkubah yang dikaji menjelaskan 11.6 peratus daripada varian dalam kesejahteraan kewangan. Faktor latar belakang iaitu pendidikan (β=0.189, p=0.000), umur (β=0.153, p=0.002) dan pendapatan isi rumah (β=0.114, p=0.023) di dapati mempunyai pengaruh yang positif dengan kesejahteraan kewangan. Begitu juga bagi amalan penjimatan tenaga elektrik (β=-0.189, p=0.000) mempengaruhi kesejahteraan kewangan pengguna tetapi pengaruhnya adalah negatif. Hasil kajian ini memberi implikasi kepada pengguna agar lebih meningkatkan tahap pendidikan mereka supaya memperoleh pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang lebih stabil. Pengguna akan turut berusaha menambahkan simpanan untuk menghadapi kehidupan hari tua. Hal ini memerlukan pengguna mempraktikkan amalan penjimatan tenaga elektrik bagi mengekalkan kesejahteraan kewangan. Walaupun dapatan menunjukkan sekiranya pengguna mempraktikkan amalan tersebut secara positif, maka kesejahteraan kewangan pengguna akan rendah. Ini memberi implikasi kepada kerajaan dan pengguna itu sendiri kerana masyarakat akan kurang mengamalkan amalan penjimatan tenaga elektrik kerana menginginkan kesejahteraan kewangan yang tinggi. Perkara tersebut menyebabkan tindakan pengguna akan berkurangan untuk mengamalkan amalan penggunaan lestari kerana mereka mampu membayar semua kos perbelanjaan daripada berjimat. Ia memerlukan pihak kerajaan mengubah tanggapan pengguna akan keburukan kepada alam sekitar sekiranya amalan tersebut tidak dibentuk dalam kehidupan mereka.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |