Citation
Mohamed Ali, Mohd Suhaimi
(2004)
Amalan Kepimpinan Pengajaran Pengetua Sekolah Menengah Luar Bandar.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka amalan kepemimpinan pengajaran
pengetua sekolah menengah luar bandar. Tiga objektif kajian ini ialah (i)
meneliti amalan kepemimpinan pengajaran pengetua sekolah menengah luar
bandar, (ii) mengenal pasti nilai dan kepercayaan pengetua serta strategi yang
dilaksanakan mereka dan (iii) mengenal pasti elemen yang mempengaruhi
amalan dan tingkah laku kepemimpinan pengajaran pengetua.
Kajian yang menggunakan kaedah kualitatif ini melibatkan teknik temu bual
dengan tiga informan utama iaitu pengetua di tiga buah sekolah menengah luar
bandar di Negeri Perak. Selain itu, temu bual guru-guru, pemerhatian dan
tinjauan dokumen turut digunakan sebagai satu kaedah triangulasi. Proses
penjanaan data memerlukan penyelidik berada sekurang-kurangnya 15 hari di setiap buah sekolah. Sekolah yang dipilih terdiri daripada tiga kategori iaitu
sekolah cemerlang, sekolah sederhana dan sekolah lemah.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa amalan kepemimpinan pengajaran
pengetua sekolah menengah luar bandar boleh ditakrifkan secara luas iaitu
semua aktiviti kepemimpinan yang memberi kesan kepada pencapaian pelajar.
Amalan yang dilaksanakan ialah menyempurnakan program pengajaran dan
pembelajaran, menetapkan iklim sekolah yang positif dan membentuk
rangkaian hubungan dengan guru dan pihak-pihak lain yang berkepentingan.
Untuk menyempurnakan matlamat ini, pengetua merancang, melaksana dan
memantau program dan aktiviti sekolah. Dalam menetapkan iklim sekolah,
pengetua berusaha mewujudkan budaya sekolah yang dapat merapatkan
warga sekolah. Membentuk rangkaian hubungan merujuk kepada kemampuan
pengetua membina rangkaian hubungan dengan guru, pelajar dan ibu bapa.
Dapatan kajian juga menunjukkan pengetua yang mempunyai nilai dan
kepercayaan yang positif terhadap stakeholders dan jangkaan yang tinggi
terhadap murid mampu membawa perubahan kepada sekolah mereka.
Demikian juga sebaliknya, pengetua yang mempunyai nilai dan kepercayaan
yang negatif menghadapi masalah dalam peranan kepemimpinan mereka.
Dapatan kajian turut menunjukkan selain pengalaman profesional, kesediaan
dan ciri personal pengetua mempengaruhi amalan mereka. Walaupun ketigatiga
sekolah terletak di luar bandar, konteks sekolah yang berbeza dari segi budaya sekolah, pelajar dan komuniti juga mempengaruhi amalan
kepemimpinan mereka.
Dapatan kajian menunjukkan sistem pemantauan, nilai dan kepercayaaan, stail
kepemimpinan dan konteks sekolah membezakan pengetua sekolah
cemerlang, sederhana dan lemah. Dapat dirumuskan empat amalan
kepemimpinan pengetua sekolah luar bandar jika mereka ingin mencapai
kejayaan. Pertama, amalan kepemimpinan berorientasikan perkongsian,
kedua, nilai dan kepercayaan pengetua yang positif, ketiga, pengalaman
profesional dan ketrampilan dan terakhir, kemampuan mewujudkan budaya
positif di sekolah.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |