Citation
Zainudin, Mohamad Zahir
(2009)
Persepsi Kumpulan Sasar Terhadap Skim Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian-kajian mengenai kemiskinan di Malaysia sering dilakukan oleh penyelidik
daripada perspektif yang berbeza-beza kerana banyak program yang dilaksanakan oleh
pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta. Bagaimanapun program skim
bantuan kepada kumpulan sasar seringkali kurang mendapat maklum balas daripada
penerima bantuan. Justeru itu, sukar bagi agensi pelaksana untuk mengenal pasti
kekuatan dan kelemahan yang ada dalam program berkenaan. Oleh itu adalah penting
untuk mengetahui persepsi penerima bantuan terhadap JKMM dan juga perubahan yang
dilalui dari segi ekonomi, sosial dan jati diri mereka. Tujuan utama kajian ini ialah untuk
mengenal pasti persepsi kumpulan sasar terhadap skim bantuan JKMM WP. Seramai
157 responden yang terdiri daripada penerima bantuan telah dipilih secara persampelan
mudah. Pengumpulan data menggunakan soal selidik berstruktur. Data yang diperoleh
telah dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 15.0. Hasil kajian
menunjukkan golongan wanita lebih ramai menerima bantuan berbanding lelaki. Daripada keseluruhan penerima, mereka yang berumur lebih 55 tahun adalah paling
ramai mendapat bantuan (57.3%). Sebahagian besar penerima terdiri dari etnik Melayu
(45.2%), diikuti India (33.1%) dan Cina (16.6%), berpendapatan di bawah RM500
sebulan dan majoritinya menerima bantuan di bawah skim Bantuan Am (56.7%). Kajian
juga mendapati terdapat perkaitan yang signifikan di antara persepsi penerima bantuan
ke atas perkhidmatan pelanggan JKMM dengan faktor demografi taraf pendidikan dan
pendapatan keluarga. Dapatan ini menunjukkan persepsi perkhidmatan pelanggan yang
lebih baik akan meningkatkan kesan umum penerima ke atas skim bantuan berkenaan.
Hasil kajian juga menunjukkan persepsi penerima terhadap skim bantuan berada pada
tahap tinggi di mana nilai min keseluruhan pemboleh ubah yang dikaji adalah 3.71.
Perkaitan di antara faktor demografi dengan persepsi perubahan yang dilalui dari segi
ekonomi tidak menunjukkan sebarang perkaitan yang signifikan. Namun wujud
hubungan yang signifikan di antara faktor demografi dengan perubahan sosial dan jati
diri bagi etnik dan pendapatan keluarga. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada
pihak pengurusan bagi meningkatkan pelaksanaan skim bantuan yang disediakan.
Kajian pada masa hadapan juga harus melihat kepada usaha-usaha memperkasa
keupayaan penerima bantuan supaya mereka dapat berdikari dan tidak bergantung pada
bantuan pihak-pihak berkaitan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |