UPM Institutional Repository

Ranah bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak


Citation

Abang Amir, Reduan (2015) Ranah bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Perincian ranah dalam penggunaan bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak masih terbuka luas untuk dikaji. Hal ini kerana terdapat banyak ranah formal dan tidak formal yang belum dikenal pasti kodnya, sama ada tinggi atau rendah. Teori Perincian Ranah yang telah dikembangkan oleh Fishman sesuai untuk kajian ini. Seramai 400 orang masyarakat Melayu Saribas daripada golongan remaja, dewasa dan warga tua yang bermastautin di pekan Spaoh dipilih sebagai sampel. Pelaksanaan kajian tinjauan adalah bertujuan untuk mengenal pasti pola pertuturan kod variasi tinggi dalam latar formal, menghuraikan pola pertuturan kod variasi rendah dalam latar tidak formal, mentafsirkan alih kod metaforikal yang berlaku dalam masyarakat, dan memetakan lingkungan ranah penggunaan bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak pada masa ini. Alat kajian yang digunakan ialah borang soal selidik, pita rakaman dan nota catatan lapangan. Penghuraian semua data rakaman pertuturan dibuat dalam bentuk transkripsi untuk dianalisis. Penyelidikan ini menghasilkan beberapa penemuan yang penting dalam konteks masyarakat Melayu Saribas di Sarawak. Pertama, dalam ranah formal dan tidak formal, sampel daripada generasi remaja, dewasa dan warga tua memilih pola pertuturan kod variasi tinggi dan rendah dialek Melayu Saribas. Kedua, mereka cenderung menggunakan alih kod metaforikal dalam ranah tidak formal. Kod variasi tinggi hanya digunakan untuk membincangkan topik formal sewaktu bercakap dengan orang yang tidak memahami dialek Melayu Saribas. Ketiga, pemetaan lingkungan ranah penggunaan bahasa masyarakat Melayu Saribas dijalankan di tujuh buah kampung dalam daerah kecil Spaoh menghasilkan sebanyak lapan ranah, iaitu empat situasi formal dan empat situasi tidak formal. Di semua kampung, dalam ranah situasi tidak formal (keluarga, sahabat, jual beli dan riadah), bahasa yang kerap digunakan ialah dialek Melayu Saribas. Dalam ranah situasi formal (pejabat, klinik, sekolah dan masjid), bahasa Melayu baku digunakan secara berselang-seli dengan dialek Melayu Saribas. Keempat, hipotesis kajian menyokong objektif 1 dan 2,bahawa dalam ranah formal, dialek Melayu Saribas masih digunakan dengan meluas oleh sampel daripada semua generasi. Dalam ranah tidak formal, kod variasi yang digunakan tidak bergantung kepada generasi penutur. Sebaliknya,kod variasi perbualan lebih bergantung kepada ranah, bukan pada generasi penutur. Sebagai kesimpulan, dalam ranah formal bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu baku. Sebaliknya, kod variasi dalam latar tidak formal ialah dialek Melayu Saribas. Dalam kedua-dua situasi tersebut lazim berlaku alih kod metaforikal. Pemetaan lingkungan ranah dalam tujuh buah kampung di daerah kecil Spaoh menunjukkan bahawa dialek Melayu Saribas masih dituturkan dengan meluas oleh semua generasi.


Download File

[img]
Preview
Text
FBMK 2015 73IR.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Malay language - Dialects - Sarawak
Subject: Malays (Asian people) - Sarawak - Saribas
Call Number: FBMK 2015 73
Chairman Supervisor: Profesor Madya Noor Aina Dani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 26 Apr 2018 04:07
Last Modified: 26 Apr 2018 04:07
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/60392
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item