Citation
Abang Amir, Reduan
(2015)
Ranah bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Perincian ranah dalam penggunaan bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak masih terbuka luas untuk dikaji. Hal ini kerana terdapat banyak ranah formal dan tidak formal yang belum dikenal pasti kodnya, sama ada tinggi atau
rendah. Teori Perincian Ranah yang telah dikembangkan oleh Fishman sesuai untuk kajian ini. Seramai 400 orang masyarakat Melayu Saribas daripada golongan remaja, dewasa dan warga tua yang bermastautin di pekan Spaoh
dipilih sebagai sampel.
Pelaksanaan kajian tinjauan adalah bertujuan untuk mengenal pasti pola pertuturan kod variasi tinggi dalam latar formal, menghuraikan pola pertuturan kod variasi rendah dalam latar tidak formal, mentafsirkan alih kod metaforikal yang berlaku dalam masyarakat, dan memetakan lingkungan ranah penggunaan bahasa masyarakat Melayu Saribas di Sarawak pada masa ini. Alat kajian yang digunakan ialah borang soal selidik, pita rakaman dan nota catatan lapangan. Penghuraian semua data rakaman pertuturan dibuat dalam bentuk transkripsi untuk dianalisis.
Penyelidikan ini menghasilkan beberapa penemuan yang penting dalam konteks masyarakat Melayu Saribas di Sarawak. Pertama, dalam ranah formal dan tidak formal, sampel daripada generasi remaja, dewasa dan warga tua
memilih pola pertuturan kod variasi tinggi dan rendah dialek Melayu Saribas. Kedua, mereka cenderung menggunakan alih kod metaforikal dalam ranah
tidak formal. Kod variasi tinggi hanya digunakan untuk membincangkan topik formal sewaktu bercakap dengan orang yang tidak memahami dialek Melayu Saribas. Ketiga, pemetaan lingkungan ranah penggunaan bahasa masyarakat
Melayu Saribas dijalankan di tujuh buah kampung dalam daerah kecil Spaoh menghasilkan sebanyak lapan ranah, iaitu empat situasi formal dan empat situasi tidak formal. Di semua kampung, dalam ranah situasi tidak formal (keluarga, sahabat, jual beli dan riadah), bahasa yang kerap digunakan ialah dialek Melayu Saribas. Dalam ranah situasi formal (pejabat, klinik, sekolah dan
masjid), bahasa Melayu baku digunakan secara berselang-seli dengan dialek Melayu Saribas. Keempat, hipotesis kajian menyokong objektif 1 dan 2,bahawa dalam ranah formal, dialek Melayu Saribas masih digunakan dengan
meluas oleh sampel daripada semua generasi. Dalam ranah tidak formal, kod variasi yang digunakan tidak bergantung kepada generasi penutur. Sebaliknya,kod variasi perbualan lebih bergantung kepada ranah, bukan pada generasi
penutur.
Sebagai kesimpulan, dalam ranah formal bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu baku. Sebaliknya, kod variasi dalam latar tidak formal ialah dialek
Melayu Saribas. Dalam kedua-dua situasi tersebut lazim berlaku alih kod metaforikal. Pemetaan lingkungan ranah dalam tujuh buah kampung di daerah kecil Spaoh menunjukkan bahawa dialek Melayu Saribas masih dituturkan
dengan meluas oleh semua generasi.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |