Citation
Hj Mohamad Ali, Khairul Anwar
(2015)
Unsur estika dalam surat perang era Al-Khulafa' Al-Rashidin.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan menilai unsur-unsur estetika yang terdapat dalam karya persuratan era Awal Islam. Penelitian awal mendapati karya persuratan era awal Islam kurang mendapat perhatian dalam kajian sastera. Kebanyakan kajian sastera pada zaman tersebut lebih tertumpu ke atas karya syair terutama syair yang bertemakan jihad pada zaman Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq dan Khalifah ‘Umar Al-Khattab. Kebanyakan pengkaji sastera Arab berpendapat bahawa karya persuratan pada zaman tersebut bukanlah dihasilkan untuk tujuan seni sastera, tetapi sebaliknya kerana faktor dakwah, politik dan ekonomi. Bahkan, sebahagian pengkaji berpandangan bahawa unsur-unsur seni balaghah yang terdapat dalam karya persuratan tersebut adalah ditokok tambah oleh periwayat sejarah. Justeru, kajian ini tampil mengisi kekurangan tersebut dan berhasrat menonjolkan aspek estetika yang terdapat dalam karya surat perang era Al-Khulafa’ Al-Rashidin. Sebanyak 35 teks surat perang yang ditulis oleh khalifah-khalifah Al-Rashidin dan panglima-panglima tentera Islam dikumpulkan sebagai data kajian. Kaedah penyelidikan yang digunakan ialah kajian kepustakaan dan analisis kandungan. Manakala, Pendekatan Estetika oleh Al-Miqdad (1993) dipilih sebagai kerangka asas kajian untuk tujuan analisis teks. Teks surat perang era Al-Khulafa’ Al-Rashidin akan dianalisis berdasarkan tiga elemen estetika yang dikemukakan oleh Al-Miqdad iaitu: Al-Ma‘ani (tema penulisan surat), Al-Manhaj
(format penulisan surat) dan Al-Uslub (gaya bahasa al-Balaghah). Hasil kajian menunjukkan bahawa karya surat perang mempunyai nilai estetika dan keindahan sastera yang tersendiri. Keindahan nilai sastera ini dibuktikan dengan format penulisan surat yang hampir kepada format penulisan zaman Rasulullah SAW dan gaya bahasa retorik yang mudah, ringkas dan jauh daripada unsur Al-Takalluf. Hasil kajian ini juga membuktikan bahawa unsur seni balaghah yang terdapat dalam surat perang era Al-
Khulafa’ Al-Rashidin bukanlah ditokok tambah oleh para periwayat sejarah. Dapatan kajian ini diharap dapat memberi sumbangan dalam memahami dan menghayati sejarah
kegemilangan zaman Awal Islam melalui pendekatan analisis sastera.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |