UPM Institutional Repository

Amalan kepemimpinan pengajaran dan transformasional pengetua serta hubungannya dengan ciri sekolah menengah harian berprestasi tinggi di Pahang


Citation

Baharuddin, Aniza (2015) Amalan kepemimpinan pengajaran dan transformasional pengetua serta hubungannya dengan ciri sekolah menengah harian berprestasi tinggi di Pahang. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Bagi menghadapi cabaran menyediakan pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa kepada semua murid, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meletakkan agenda memperkasakan kepemimpinan pengetua sebagai keutamaan. Keyakinan kepemimpinan negara dan masyarakat terhadap pembentukan ciri-ciri sekolah berprestasi tinggi melalui pengaruh kepemimpinan sekolah adalah selari dengan banyak dapatan penyelidikan berkaitan impak kepemimpinan pengetua terhadap peningkatan prestasi sekolah. Merujuk banyak kajian empirikal, dua model kepemimpinan paling utama dalam persekitaran pendidikan ialah kepemimpinan pengajaran dan transformasional. Kajian ini bertujuan mengenal pasti perbezaan dalam tahap amalan kepemimpinan pengajaran dan transformasional pengetua mengikut kumpulan prestasi sekolah iaitu kumpulan sekolah prestasi tinggi, sederhana dan rendah. Seterusnya mengenal pasti sumbangan kedua-dua jenis kepemimpinan ini sebagai peramal ciri-ciri sekolah prestasi tinggi. Kajian ini menggunakan kaedah korelasi kuantitatif melibatkan sampel yang terdiri daripada 309 orang guru dari dua puluh empat buah sekolah menengah harian biasa di negeri Pahang Darul Makmur. Kerangka kajian diasaskan kepada Model Kepemimpinan Pengajaran Hallinger dan Murphy (1985), Teori Transformasi Bass (1985) dan Ciri-Ciri Sekolah Prestasi Tinggi oleh Shannon & Bylsma (2007). Data persepsi guru bagi penarafan kekerapan amalan kepemimpinan pengajaran pengetua diperoleh menggunakan soal selidik Principal Instructional Management Rating Scale (PIMRS) yang telah diubahsuai daripada Latip (2006), manakala penarafan kekerapan kepemimpinan transformasional menggunakan soal selidik Multifactor Leadership Questionnaire (MLQ ). Seterusnya data tahap persetujuan guru terhadap pencapaian ciri-ciri sekolah prestasi tinggi sekolah mereka diperoleh menggunakan soal selidik School Staff Survey of School Characteristics. Kumpulan prestasi sekolah ditentukan melalui pencapaian band prestasi sekolah seperti yang dinilai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tempoh tiga tahun iaitu tahun 2009, 2010 dan 2011. Data soal selidik dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi menerusi program SPSS-Versi 20.0. Hasil kajian memperlihatkan bukti empirikal bahawa tahap persetujuan guru terhadap pencapaian ciri-ciri sekolah prestasi tinggi sekolah mereka akan meningkat sekiranya pengetua mempamerkan kedua-dua amalan kepemimpinan pengajaran dan transformasional pada tahap tinggi. Kepemimpinan pengajaran merupakan peramal dominan dengan sumbangan sebanyak 46.5 % varian dalam ciri-ciri sekolah prestasi tinggi. Manakala kepemimpinan transformasional menyumbang sebanyak 4.6 % varian dalam ciri-ciri sekolah prestasi tinggi. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa dengan meningkatkan tahap kekerapan amalan kedua-dua kepemimpinan pengajaran dan transformasional berupaya mempertingkatkan lagi pembentukan ciriciri sekolah prestasi tinggi. Pemahaman yang lebih mendalam mengenai hubungan di antara kepemimpinan pengetua dan prestasi sekolah akan memberi manfaat kerana merapatkan jurang prestasi di antara sekolah adalah penting pada masa kini.


Download File

[img]
Preview
Text
FPP 2015 59IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Educational leadership
Subject: High school principals - Administration - Malaysia
Subject: High schools
Call Number: FPP 2015 59
Chairman Supervisor: Profesor Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 30 Mar 2018 02:00
Last Modified: 30 Mar 2018 02:00
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/59850
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item