Citation
Ab Jalil, Nurmaimanah
(2015)
Hubungan antara perspektif masa, kawalan kendiri dan pencapaian akademik pelajar aliran sains tingkatan empat di daerah Hulu Langat, Selangor.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan mengkaji hubungan antara dimensi perspektif masa,kawalan kendiri dan pencapaian akademik dalam mata pelajaran Sains iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan dalam kalangan pelajar aliran
Sains Tingkatan 4. Kajian ini juga dijalankan untuk menentukan sama ada kawalan kendiri merupakan pengantara ke atas hubungan dimensi perspektif masa dengan pencapaian akademik pelajar. Di samping itu, kajian ini turut meneroka tahap dan pola bagi setiap dimensi perspektif masa, kawalan kendiri dan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar. Perspektif masa terdiri daripada lima dimensi iaitu perspektif masa silam positif (PMSP),
perspektif masa silam negatif (PMSN), perspektif masa kini hedonistik (PMKH), perspektif masa kini fatalistik (PMKF) dan perspektif masa hadapan (PMH).
Menggunakan reka bentuk deskriptif korelasi, kajian ini melibatkan seramai 390 orang pelajar aliran Sains Tingakatan 4 di sekitar daerah Hulu Langat. Instrumen yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah kajian adalah
Zimbardo Time Perspective Inventory (untuk mengukur dimensi perspektif masa) dan Brief Self Control Survey (untuk mengukur kawalan kendiri). Manakala skor gred purata mata pelajaran (GPMP) bagi empat mata pelajaran Sains iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan diambil untuk mengukur tahap pencapaian akademik mereka.
Data di analisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan statistik inferensi seperti Ujian-t, ANOVA dan SEM. Walau bagaimanapun, hanya tiga dimensi perspektif masa (PMSP, PMSN dan PMH) digunakan dalam analisis SEM kerana dua lagi dimensi perspektif masa (PMKH dan PMKF) tidak memenuhi kriteria ketepatan padanan model pengukuran. Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan majoriti pelajar mempunyai tahap yang sederhana untuk kesemua dimensi perspektif masa, kawalan kendiri dan pencapaian akademik. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam dimensi perspektif masa pelajar berdasarkan jantina, bangsa dan lokasi sekolah. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan terdapat
perbezaan yang signifikan dalam kawalan kendiri berdasarkan jantina dan bangsa pelajar.
Keputusan analisis korelasi pula menunjukkan terdapat perkaitan antara dimensi perspektif masa seperti perspektif masa silam positif dan perspektif masa hadapan dengan pencapaian akademik. Seterusnya, dapatan menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara dimensi perspektif masa dengan kawalan kendiri. Didapati kawalan kendiri mempunyai hubungan negatif dengan pencapaian akademik (p<0.05) yang menunjukkan semakin tinggi kawalan kendiri, semakin baik pencapaian akademik (GPMP semakin rendah).
Penemuan kajian menunjukkan bahawa terdapat bukti kesan tidak langsung bagi hubungan antara dimensi perspektif masa dengan pencapaian akademik melalui kawalan kendiri. Ujian pengantaraan menunjukkan terdapat peranan
pengantaraan yang signifikan bagi kawalan kendiri dalam hubungan antara dimensi perspektif masa dengan pencapaian akademik. Hasil kajian ini menyarankan perspektif masa hadapan yang tinggi dalam diri pelajar aliran Sains akan meningkatkan kawalan kendirinya dan seterusnya
mempertingkatkan pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sains. Secara keseluruhan, kajian ini telah menyumbangkan kepada badan pengetahuan dengan memperkukuhkan lagi teori sedia ada dan menampung jurang yang wujud dalam kajian pencapaian akademik dalam mata pelajaran Sains bagi pelajar aliran Sains di Malaysia. Oleh itu, sebarang usaha dalam mengkaji masalah kemerosotan pencapaian akademik dalam mata pelajaran Sains dalam kalangan pelajar aliran Sains, sewajarnya mengambil kira pengaruh daripada perspektif masa dan kawalan kendiri.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Masters)
|
Subject: |
Time perspective - Self-control - Academic achievement - Science |
Subject: |
Study and teaching (Secondary) - Malaysia - Hulu Langat (Selangor) |
Call Number: |
FPP 2015 10 |
Chairman Supervisor: |
Profesor Madya Samsilah Roslan, PhD |
Divisions: |
Faculty of Educational Studies |
Depositing User: |
Haridan Mohd Jais
|
Date Deposited: |
05 Mar 2018 03:53 |
Last Modified: |
05 Mar 2018 03:53 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/59259 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |