Citation
Mohamad, Azlida
(2015)
Hubungan disposisi pemikiran kritis dengan gaya pengajaran inkuiri dalam kalangan guru sains daerah Hulu Langat.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Manusia tidak dilahirkan dengan pemikiran kritis, sebaliknya kemahiran ini perlu dibina dan diserlahkan. Pemikiran kritis atau kritikal merangkumi kemahiran berfikir kritis dan disposisi pemikiran kritis. Dalam usaha membangunkan kemahiran berfikir kritis pelajar, guru terlebih dahulu perlu menguasai kemahiran ini dan dalam masa yang sama mempraktikkan disposisi pemikiran kritis melalui pelaksanaan pedagogi pengajaran yang spesifik. Pendekatan pengajaran konvensional yang melibatkan pelajar secara pasif dalam proses pemerolehan ilmu sama sekali tidak menggalakkan mereka berfikir. Situasi ini dilihat menjadi punca utama pencapaian pelajar Malaysia yang tidak memberangsangkan dalam pentaksiran antarabangsa.
Memandangkan guru adalah individu yang secara langsung berperanan meningkatkan pemikiran kritis pelajar, justeru, kajian ini memberi fokus kepada guru dalam mengenal pasti tahap disposisi pemikiran kritis mereka dan tahap gaya pengajaran inkuiri yang mereka laksanakan. Kajian ini juga berperanan mengenal pasti perbezaan tahap
disposisi pemikiran kritis dan gaya pengajaran inkuiri dari aspek pengalaman mengajar. Dapatan kajian memberi input mengenai hubungan disposisi pemikiran kritis dengan
gaya pengajaran inkuiri guru. Dua konstruk terlibat dalam kajian ini iaitu disposisi pemikiran kritis dan gaya pengajaran inkuiri. Disposisi pemikiran kritis diukur
berdasarkan tujuh subskala iaitu berfikiran terbuka, analitikal, mencari kebenaran,sistematik, berkeyakinan diri, kematangan dan sifat ingin tahu. Gaya pengajaran inkuiri pula mempunyai empat peringkat pelaksanaan iaitu pengesahan, inkuiri berstruktur, inkuiri terbimbing dan inkuiri terbuka.
Kajian ini menggunakan reka bentuk kolerasi. Seramai 230 responden iaitu guru sains dari 26 buah sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor terlibat. Instrumen adalah
berdasarkan instrumen kajian lepas dan pengubahsuaian terhadap item dilakukan agar ianya relevan dengan kajian semasa. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis
secara deskriptif, ANOVA dan korelasi dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 21.0.alisis deskriptif dilakukan untuk mendapatkan nilai min dan sisihan piawai pemboleh ubah. Analisis deskriptif menunjukkan responden mempunyai tahap
disposisi pemikiran kritis yang tinggi (M=3.86, S.P.=0.258) terutamanya bagi subskala analitik dan kerap melaksanakan pengajaran inkuiri (M=3.95, S.P.=0.385) khususnya peringkat inkuiri terbimbing. Ini memberi gambaran bahawa responden mempunyai motivasi dalaman yang tinggi untuk menggunakan kemahiran berfikir kritis dalam
proses pengajaran dan aplikasi dunia luar. Responden juga peka akan keperluan untuk melaksanakan kaedah pengajaran berkesan dalam menarik minat pelajar terhadap pelajaran sains.
Bagi faktor pengalaman mengajar pula, analisis inferensi menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan antara kumpulan guru baru, guru pertengahan dan guru senior bagi
konstruk disposisi pemikiran kritis (F(2,227)=0.081, p=0.922) dan konstruk gaya pengajaran inkuiri (F(2,227)=0.683, p=0.506). Keadaan ini menjelaskan bahawa
pengalaman atau tempoh mengajar tidak mempengaruhi tahap disposisi pemikiran kritis dan gaya pengajaran inkuiri guru.
Dapatan inferensi turut membuktikan terdapat korelasi yang sederhana kuat (r=0.344,p=0.0001) antara disposisi pemikiran kritis dengan gaya pengajaran inkuiri. Ini
menjelaskan bahawa semakin tinggi tahap disposisi guru sains terhadap pemikiran kritis, semakin tinggi tahap amalan praktis dalam gaya pengajaran inkuiri. Kajian ini
diharap dapat menjadi satu bentuk penilaian terhadap kebolehan guru dalam menguasai kemahiran berfikir dan tahap pelaksanaan pedagogi pengajaran yang efektif sekaligus menyumbang kepada keberkesanan sistem pendidikan negara.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |