Citation
Nik Abdul Aziz, Nik Aida Adibah
(2014)
Tiada jaminan memperoleh makanan, status pemakanan dan kesejahteraan kesihatan dalam kalangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Selangor.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tiada jaminan kedapatan makanan didefinisikan sebagai tidak mendapat nutrien yang mencukupi, makanan yang tidak selamat dimakan atau tidak berkemampuan untuk mendapatkan makanan bagi menjalani gaya hidup yang sihat. Tiada jaminan kedapatan makanan isi rumah dikaitkan dengan tahap sosioekonomi yang rendah seperti jumlah
pendapatan bulanan isi rumah yang rendah, tahap pendidikan yang rendah dan juga perbelanjaan makanan yang rendah. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tiada jaminan
kedapatan makanan, status pemakanan dan kesejahteraan kesihatan dalam kalangan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bangi dan Kajang.
Seramai 322 isi rumah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan Bangi dan Kajang telah dipilih secara persampelan sistematik terlibat dalam kajian ini.
Data dikumpulkan menggunakan borang soal selidik. Penganalisisan data dibahagikan kepada analisis diskriptif dan analisis inferensi yang melibatkan Analisis Korelasi Pearson dan General Linear Model (GLM). Analisis Korelasi Pearson digunakan untuk mengenalpasti perkaitan antara ciri-ciri demografi dan sosioekonomi dengan skor tiada jaminan kedapatan makanan. Manakala General Linear Model (GLM) digunakan untuk mengenalpasti perbezaan status pemakanan (Peringatan 24 Jam Lepas dan Skor Kepelbagaian Makanan) dan kesejahteraan kesihatan (fizikal dan mental) berdasarkan status jaminan kedapatan makanan setelah mengawal pembolehubah kovariat.
Hasil kajian mendapati seramai 26.7% isi rumah mempunyai pendapatan di bawah paras garis kemiskinan (PGK). Manakala 66.7% responden mengalami masalah tiada
jaminan kedapatan makanan. Seramai 34.5% responden mendapat skor yang terendah kepelbagaian makanan. Kesemua nutrien yang diambil oleh responden tidak mencapai
RNI (Recommended Nutrient Intake for Malaysia) yang disarankan. Seterusnya, purata skor bagi kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental responden masing-masing ialah 45.59 dan 46.79. Ini menunjukkan tahap kesejahteraan kesihatan responden adalah di
tahap yang rendah.
Terdapat perkaitan yang signifikan antara jumlah tahun pendidikan isteri (p<0.05),jumlah tahun pendidikan suami (p<0.05), jumlah pendapatan isi rumah (p<0.05), dan jumlah perbelanjaan makanan (p<0.05) dengan skor tiada jaminan kedapatan makanan. Kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara status pemakanan (Peringatan 24 Jam Lepas) dengan status jaminan kedapatan makanan bagi nutrien tenaga (p<0.05), protein (p<0.01), kalsium (p<0.01), zink (p<0.01), tiamin (p<0.01),niacin (p<0.01), folat (p<0.05) dan vitamin A(p<0.01) setelah mengawal
pembolehubah kovariat. Hasil kajian mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara skor purata kesejahteraan kesihatan (fizikal) (p>0.05) dan dimensi
kesejahteraan kesihatan fizikal bagi fungsi fizikal (p>0.05), peranan fizikal (p>0.05),sakit badan (p>0.05) dan kesihatan umum (p>0.05) dengan status jaminan kedapatan makanan setelah mengawal pembolehubah kovariat. Sebaliknya, terdapat perbezaan yang signifikan antara skor purata kesejahteraan kesihatan (mental) (p<0.05) dan
dimensi kesejahteraan kesihatan mental bagi fungsi sosial (p<0.05), peranan emosi (p<0.05) dengan status jaminan kedapatan.
Kesimpulannya, tahap pendidikan dan pendapatan yang rendah serta perbelanjaan ke atas kumpulan makanan merupakan faktor penyumbang kepada tiada jaminan
kedapatan makanan isi rumah. Disamping itu, tiada jaminan kedapatan makanan memberi implikasi kepada status pemakanan dan kesejahteraan kesihatan mental yang
rendah. Oleh itu, pihak kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab seharusnya memainkan peranan untuk membantu penerima bantuan dalam mengatasi masalah
tiada jaminan kedapatan makanan dengan mengkaji semula kadar bantuan yang diberikan selari dengan peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat. Disamping itu, program meningkatkan sosioekonomi isi rumah serta program berkaitan pemakanan dalam kalangan penerima bantuan perlu dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan pengetahuan isi rumah tentang kepentingan pengambilan makanan yang
seimbang dan berkhasiat.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |