Citation
Perumal, Thanalachime
(2015)
Hujahan 'luahan rasa' dalam akhbar berbahasa Tamil terpilih.
PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini memfokuskan wacana hujahan ‘luahan rasa’ yang digunakan dalam surat akhbar berbahasa Tamil untuk membincangkan isu masyarakat minoriti di negara ini. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti isu semasa melalui hujahan ‘luahan rasa’ dan membincangkan serta membandingkan persamaan dan perbezaan hujahan ‘luahan rasa’ dalam akhbar berbahasa Tamil. Analisis teks ini dijalankan secara kajian kualitatif. Data dianalisis secara deskriptif menggunakan kerangka teori van Dijk (2008a). Sebanyak lima isu semasa berkaitan masyarakat minoriti, iaitu Isu Kematian dalam Lokap, Masalah Pengajian India di Jabatan Pengajian India di Universiti Malaya,Pilihan raya, Isu Lembah Bujang dan Perayaan Thaipusam yang ditulis secara hujahan menjadi bahan kajian. Semua teks yang dipilih ditulis oleh penulis tempatan dalam empat buah akhbar Tamil tempatan, iaitu Tamil Nesan, Makkal Osai, Malaysia Nanban,dan Thinakkural. Keempat-empat akhbar ini merupakan penyebar berita utama dalam kalangan masyarakat India secara meluas di negara ini. Teks hujahan dipilih secara rawak dari September 2012 hingga Januari 2014 mengikut keperluan. Sebanyak 56 buah teks dipilih sebagai bahan kajian. Tempoh masa ini menjadi pilihan kerana 2013 ialah tahun pilihan raya, maka banyak isu berkaitan masalah minotiti ditulis secara hujahan dalam akhbar bahasa Tamil. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun tema teks sama, namun terdapat persamaan dan perbezaan dari segi penggunaan wacana oleh setiap penulis. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa penulis menggunakan pelbagai corak wacana seperti wacana deskriptif, wacana naratif, perbincangan dan lakuan tutur untuk menyampaikan penghujahan masing-masing. Penggunaan jenis wacana dan struktur juga berbeza berdasarkan tujuan penulis. Dalam teks hujahan ‘luahan rasa’ penulis cuba mendekati para pembaca secara subjektif, iaitu penulis behujah secara beremosi. Cara ini bertentangan dengan ciri wacana teks hujahan. Di samping itu, teks hujahan ‘luahan rasa’ juga kerap menggunakan struktur cakap pindah untuk menyatakan pendapat seseorang. Penulis juga cenderung menggunakan metafora bagi mengajak khalayak berfikir, membuat perbandingan dalam konsep budaya dan bahasa melalui gagasan yang berorientasikan keindahan bahasa. Bahasa kiasan dan metafora jarang digunakan dalam teks hujahan kerana hujahan diberikan berdasarkan bukti. Diharapkan kajian ini dapat menyumbang kepada bidang analisis wacana serta menjadi pendorong kepada para pengkaji yang ingin menerokai bidang ini dengan lebih mendalam lagi.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |