Citation
Abdullah, Zawiyah
(2015)
Kesan program perkhemahan terhadap motivasi dan pencapaian Bahasa Arab pelajar.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Motivasi mempunyai impak yang sangat besar terhadap penguasaan bahasa asing sehingga ia dilabel sebagai kunci kejayaan pembelajaran bahasa asing. Namun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa motivasi pembelajaran
bahasa Arab di Malaysia masih berada pada tahap sederhana. Pencapaian bahasa Arab pula berada pada tahap yang tidak memuaskan. Pelbagai pendekatan telah digunakan untuk mengatasi masalah ini. Namun pendekatan ini secara umumnya, lebih berfokus kepada aktiviti dalam bilik darjah. Pendekatan yang berfokus kepada penganjuran aktiviti kokurikulum terutamanya perkhemahan amat kurang sedangkan beberapa kajian lepas menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik serta kemahiran bukan akademik yang
meliputi keyakinan diri dan motivasi. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap motivasi serta pencapaian bahasa Arab pelajar sebelum dan selepas menyertai program perkhemahan bahasa Arab, membezakan tahap motivasi serta pencapaian bahasa Arab mereka sebelum dan selepas mengikuti program ini dan seterusnya menganalisis hubungan antara konstruk motivasi dengan pencapaian bahasa Arab pelajar selepas mengikuti program
ini. Kajian yang berbentuk pra eksperimen ini melibatkan 35 orang pelajar tingkatan tiga dari SMK Jalan Kebun, Shah Alam. Data kajian berkaitan motivasi dikumpul melalui 48 item soal selidik pembelajaran bahasa Arab. Set ujian pra dan pasca pula digunakan untuk mengukur tahap pencapaian bahasa Arab. Hasil kajian menunjukkan program perkhemahan bahasa Arab yang diadakan memberikan impak positif terhadap peningkatan motivasi serta
pencapaian bahasa Arab. Oleh itu, program ini khasnya, dan aktiviti kokurikulum yang lain amnya, sangat perlu dilaksanakan di sekolah dalam usaha meningkatkan motivasi dan pencapaian bahasa Arab. Walaupun motivasi pelajar telah pun berada pada tahap yang tinggi sebelum
pelaksanaan program berkenaan, ia berjaya ditingkatkan lagi kepada aras yang lebih baik. Pencapaian pelajar yang hanya berada pada tahap sederhana sebelum pelaksanaan program juga menunjukkan peningkatan tetapi masih tidak dapat dikeluarkan daripada kategori sederhana. Hal ini menunjukkan bahawa faktor motivasi yang tinggi tidak menjamin kecemerlangan penguasaan bahasa Arab, tetapi hanya mencetus minat pelajar untuk mempelajarinya. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pelajar dan guru untuk memanipulasi faktor motivasi ini dengan pelbagai strategi dan teknik untuk membawa kepada pencapaian yang cemerlang.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |