UPM Institutional Repository

Penerapan kemahiran insaniah dalam kursus wajib Institut Pendidikan Guru di Malaysia


Citation

Maharoff, Marina (2014) Penerapan kemahiran insaniah dalam kursus wajib Institut Pendidikan Guru di Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Semenjak Wawasan 2020 diwujudkan pada tahun 1991, sistem pendidikan di Malaysia telah menerima pakai anjakan paradigma pendidikan daripada pengajaran kepada pembelajaran. Paradigma pengajaran adalah sinonim dengan pendekatan berpusatkan guru manakala paradigma pembelajaran sinonim dengan pendekatan berpusatkan pelajar. Bermula pada tahun 2006, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan penerapan kemahiran insaniah (KI) di institusi pengajian tinggi awam, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) telah mengambil inisiatif untuk menerapkan KI melalui pengajaran dan pembelajaran Kursus Wajib, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Kursus Wajib dalam menerapkan KI telah menimbulkan isu dalam amalan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menangani kedua-dua cabaran untuk mengajar Kursus Wajib dan dalam masa yang sama menerapkan elemen-elemen KI seperti yang telah ditetapkan oleh IPG. Kajian ini telah dijalankan di IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, untuk meneroka pengalaman pensyarah dan guru pelatih terhadap pengajaran dan pembelajaran Kursus Wajib dalam menerapkan KI. Oleh itu kajian ini dijalankan bagi menjawab persoalan kajian berikut; (i) Apakah kepercayaan pensyarah terhadap pengajaran Kursus Wajib dalam menerapkan KI di IPG?, (ii) Bagaimana pensyarah mengamalkan pengajaran Kursus Wajib yang menerapkan KI di IPG?, (iii) Apakah kepercayaan guru pelatih terhadap pembelajaran Kursus Wajib dalam menerapkan KI di IPG?, dan (iv) Bagaimana guru pelatih mengamalkan pembelajaran Kursus Wajib yang menerapkan KI di IPG? Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kajian kes kualitatif. Seramai lima orang pensyarah dan sepuluh orang guru pelatih telah terlibat dalam kajian ini. Kesemua pensyarah mewakili setiap jabatan yang menawarkan kursus-kursus berbeza dalam Kursus Wajib. Peserta guru pelatih terdiri daripada sepuluh orang guru pelatih tahun akhir PISMP yang mewakili Kursus Major berbeza. Data kajian telah dikumpulkan melalui beberapa kaedah; (i) temu bual individu; (ii) temu bual kumpulan berfokus; (iii) pemerhatian di dalam kelas; (iv) temu bual merangsang ingatan; dan (v) analisis dokumen. Pengkaji menggunakan Model Interaksi M & H untuk Analisis Data Kualitatif (Miles dan Huberman, 1994) untuk menganalisis data yang telah dikumpul. Rumusan dapatan kajian menunjukkan; (i) Pensyarah percaya bahawa pengajaran Kursus Wajib telah tersedia dengan penerapan KI, pensyarah memainkan kedua-dua peranan sebagai penyampai pengetahuan dan pembimbing guru pelatih dalam menerapkan KI, dan wujud keselarian di antara kaedah penerapan KI dengan pendekatan berpusatkan pelajar; (ii) Pensyarah mengamalkan pendekatan berpusatkan guru dan berpusatkan pelajar dalam pengajaran; (iii) Guru pelatih percaya pendekatan berpusatkan guru berlaku melalui pembelajaran yang pasif tetapi memberi kelebihan kepada pemahaman guru pelatih manakala pendekatan berpusatkan pelajar berlaku melalui pembelajaran yang aktif, dan (iv) Guru pelatih penerapan KI membina sikap bertanggungjawab mereka terhadap pembelajaran dan memberi kesan kepada pendekatan pembelajaran mereka. Dapatan kajian memberi implikasi dalam bentuk pengaruh penerapan KI kepada amalan pendekatan berpusatkan pelajar, yang didapati selari di antara teori penerapan KI dengan teori pengajaran dan pembelajaran; dan keperluan IPG untuk membangunkan latihan perguruan yang menekankan konsep integrasi dan holistik. Kajian ini boleh dikembangkan lagi di masa hadapan dengan mengkaji peranan pensyarah dalam mengukuhkan pengajaran yang menerapkan KI dan kajian terhadap pembangunan kerangka kerja yang menggabungkan kedua-dua teori penerapan KI dan pengajaran.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2014 34RR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Interpersonal relations
Subject: Emotional intelligence
Subject: Soft skills
Call Number: FPP 2014 34
Chairman Supervisor: Profesor Madya Aminuddin Hassan, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 17 May 2017 05:52
Last Modified: 30 Oct 2018 03:52
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/50615
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item