UPM Institutional Repository

Penguasaan penulisan karangan bahasa melayu dari perspektif komunikatif


Citation

Taridi, Rosmawati (2008) Penguasaan penulisan karangan bahasa melayu dari perspektif komunikatif. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini dijalankan dalam kalangan sampel yang terdiri daripada seratus dua puluh lapan orang pelajar Tingkatan Empat yang belajar di sekolah menengah harian di Wilayah persekutuan. Dua buah sekolah kajian yang dipilih sebagai lokasi kajian ialah sebuah sekolah di zon Sentul dan sebuah lagi di zon Keramat, Kuala Lumpur. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti kewujudan komponen komunikatif dalam penulisan karangan pelahiran dan pemujukan. Selain itu, kajian ini juga membincangkan gred pencapaian pelajar dalam penulisan karangan bahasa Melayu melalui dua skema pemarkahan, iaitu skema komunikatif dan skema Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pengkaji juga membuat perbandingan pencapaian markah antara dua skema ini dan seterusnya mengesan ketekalan skema analisis karangan yang digunakan dalam kajian ini sebagai garis panduan pemarkahan yang menggunakan skema komunikatif. Untuk mencapai objektif kajian ini, pengkaji meneroka kecekapan menulis dan menerapkan idea komunikatif Hymes (1972), model komunikatif versi Bachman dan Savignon (1986), serta Model Wacana Lloyd – Jones (1977) pula untuk meneroka kecekapan menulis.Penaksiran kemahiran menulis dijalankan pada dua tahap dan membabitkan tiga jenis alat utama, iaitu skema analisis karangan, skema pemarkahan komunikatif serta skema Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pada tahap pertama skema analisis karangan dijalankan yang bertujuan untuk mengumpul data kecekapan komunikatif dalam karangan bahasa Melayu. Pada tahap kedua, penggunaan dua versi Skema Komunikatif dan Skema Lembaga Peperiksaan dijalankan untuk menggredkan sampel karangan mengikut kategori pencapaian dan seterusnya membuat perbandingan pencapaian antara kedua-dua skema. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa komponen wacana dan tatabahasa wujud dalam kedua-dua jenis karangan. Tatabahasa merupakan varian utama kecekapan komunikatif dalam kedua-dua jenis karangan. Penggunaan skema pemarkahan komunikatif dan skema Lembaga Peperiksaan Malaysia yang berasaskan pendekatan holistik dalam penaksiran kemahiran menulis menunjukkan jurang perbezaan yang amat kecil antara kedua-duanya. Taburan kekerapan gred pencapaian pelajar meliputi pencapaian tinggi, sederhana dan rendah bagi kedua-dua skema. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa skema analisis karangan yang digunakan dalam kajian ini memiliki ketekalan dalaman yang tinggi dengan memperoleh nilai korelasi melebihi 0.90. Selanjutnya pengkaji mengemukakan beberapa implikasi yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat yang terlibat dalam bidang pendidikan iaitu mereka boleh memantau penguasaan kemahiran menulis pelajar dan seterusnya mengkategori pencapaian pelajar. Skema analisis karangan pula boleh digunakan bagi tujuan mengumpul maklumat, khususnya bagi tujuan menyusun strategi pemulihan karangan yang berlainan wacana. Instrumen penaksiran karangan yang menggunakan rujukan kriteria bukan sahaja tepat dan efisien malah selari dengan perkembangan kurikulum Bahasa Melayu KBSM. Maklumat empiris kajian ini berguna untuk meneliti kualiti keseluruhan karangan dan seterusnya memudahkan pengkategorian perlakuan karangan dilakukan.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK_2008_7.pdf

Download (354kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Malay language - Composition
Call Number: FBMK 2008 7
Chairman Supervisor: Professor Madya Che Ibrahim Salleh, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Nurul Hayatie Hashim
Date Deposited: 31 Mar 2010 00:19
Last Modified: 27 May 2013 07:18
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/4767
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item