UPM Institutional Repository

Bahasa sebagai cerminan nilai hati budi Melayu dari sudut medan semantik


Citation

Che Rodi, Rozita (2013) Bahasa sebagai cerminan nilai hati budi Melayu dari sudut medan semantik. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menjelaskan pemaknaan bagi keseluruhan 26 komponen teras hati budi Melayu (HBM) yang telah dikemukakan oleh Hashim Hj Musa (2008a), tetapi dengan melakukan huraian secara mendalam tentang makna asasi dan makna perkaitan keseluruhan komponen itu dan mengenal pasti beberapa kata fokus sebagai paksi penumpuan maknanya. Kajian lepas memperlihatkan kebanyakan pengkaji hanya menggunakan pendekatan konseptual, statistikal dan teoretikal semata-mata dalam memaparkan hasil kajian. Di samping itu, hampir keseluruhan kajian yang diteliti merupakan hasil daripada persepsi dan penyimpulan pengkaji itu berdasarkan teks serta bentuk puisi tertentu ataupun mengedarkan soal selidik kepada masyarakat Melayu. Seterusnya, kesimpulan tentang beberapa sifat keperibadian Melayu dinyatakan secara umum dan tidak menghuraikan secara saintifik makna asasi dan makna perkaitan setiap sifat itu. Oleh demikian, pengkajian ini tertumpu kepada proses mengenal pasti kata fokus yang menjadi paksi penumpuan makna dalam pembentukan 26 komponen teras HBM, menginterpretasi kata kunci yang mengelilingi setiap kata fokus yang dikenal pasti dan menjelaskan jalinan perkaitan makna setiap kata kunci yang mengelilingi kata fokus yang membentuk lingkungan konsepsi sehingga menubuhkan medan semantik bagi 26 komponen teras HBM. Kaedah penyelidikan yang digunakan ialah kaedah pengumpulan data, iaitu melalui kaedah kepustakaan, dan seterusnya kaedah analisis data, iaitu kaedah analisis teks dengan pendekatan analisis medan semantik, khususnya terhadap konsep kata fokus dan kata kunci yang membawa kepada pembentukan lingkungan konsepsi sehingga membawa pula kepada penubuhan medan semantik bagi 26 komponen teras HBM itu. Penganalisisan data dibuat berdasarkan Teori Medan Semantik yang dipelopori oleh J.Trier (1931). Walau bagaimanapun, pengaplikasian Teori Medan Semantik yang sebenar menggunakan model analisis (analytical model) yang dibangunkan oleh T. Izutsu (1964) untuk mengkaji kata kunci utama yang terdapat dalam teks al-Quran berkaitan dengan weltanschauung atau pandangan alam semesta. Seterusnya, dengan menggunakan teori yang sama pula, Syed M. Naquib al-Attas (1970) telah menganalisis fahaman tasawuf atau mistisisme Hamzah Fansuri, iaitu seorang ulama dan ahli sufi Melayu yang hidup pada akhir abad ke-16 Masihi. Hasil kajian menggunakan pendekatan teori medan semantik telah menemukan empat kata fokus sebagai paksi penumpuan makna 26 komponen teras HBM. Kata fokus itu ialah “agama”, “didikan”, “ilmu” dan “nilai” yang menggambarkan kehadirannya yang paling kuat dalam pembentukan struktur pengkonsepsian masyarakat Melayu, tentang realiti, iaitu tentang alam semestanya (konsep kosmologi) dan tentang kejadian dan kewujudan diri manusia, termasuk juga hakikat wujud itu sendiri (konsep ontologi), dan tentang nilai (konsep aksiologi). Selain itu, penginterpretasian dan penjelasan berhubung makna setiap istilah atau disebut kata kunci yang menunjangi keseluruhan komponen itu telah membantu masyarakat mengetahui bahawa fungsi sesuatu istilah atau ungkapan itu sebagai cerminan hati budi masyarakat Melayu mencakupi segala aspek dalam sesuatu bahasa. Selain itu, sebanyak 41 kata kunci yang dikenal pasti mendasari pembentukan 26 komponen teras HBM telah dianalisis berdasarkan makna asasi dan makna perkaitannya. Hasil daripada penginterpretasian itu telah membentuk lingkungan konsepsi dan seterusnya membawa kepada penubuhan medan semantik bagi keseluruhan 26 komponen teras HBM. Kajian ini telah berjaya merungkai sesuatu konsep dalam bahasa yang berkemungkinan sukar difahami maknanya secara menyeluruh, iaitu dari segi definisi, makna asasinya dan lingkungan konsepsinya, tetapi melalui penubuhan medan semantik dapat menjelaskan keseluruhan pembentukan 26 komponen itu sebagai cerminan nilai hati budi masyarakat Melayu.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2013 21R.pdf

Download (854kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Psycholinguistics
Subject: Semantics
Subject: Malays - Social life and customs
Call Number: FBMK 2013 21
Chairman Supervisor: Profesor Hashim Hj Musa, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 11 Feb 2016 03:41
Last Modified: 11 Feb 2016 03:41
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/41374
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item