Simple Search:

Pembinaan kesedaran dan polarisasi etnik pelajar di universiti awam Malaysia


Citation

Chin, Yee Mun (2013) Pembinaan kesedaran dan polarisasi etnik pelajar di universiti awam Malaysia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract / Synopsis

Polarisasi etnik yang berlaku di universiti awam Malaysia memaparkan corak hubungan antara etnik dalam masyarakat Malaysia. Hal ini menyebabkan polarisasi etnik di universiti awam Malaysia menjadi satu permasalahan yang penting untuk dikaji bagi memahami punca berlakunya kesedaran etnik dalam kalangan rakyat negara ini. Dalam membincangkan permasalahan ini, perspektif bottom-up yang diketengahkan oleh Michael Banton menyatakan bahawa kesedaran etnik dibina oleh individu. Melalui kesedaran etnik, seseorang individu akan membentuk ikatan dengan individu-individu lain dalam kumpulan etniknya. Ikatan tersebut membolehkan anggota-anggota sesebuah kumpulan etnik membentuk tindakan kolektif untuk bersaing dengan anggota kumpulan etnik yang lain. Kajian ini membincangkan perspektif ini dengan mengkaji peranan pelajar Melayu dan Cina yang menuntut di universiti awam Malaysia dalam membina kesedaran etnik mereka. Kajian ini juga membincangkan peranan ahli keluarga dan rakan sebaya seetnik pelajar Melayu dan Cina dalam membina dan mengukuh kesedaran etnik mereka melalui proses sosialisasi etnik. Selain itu, kajian ini juga menghuraikan bentuk-bentuk batasan etnik kedua-dua kumpulan pelajar. Bagi menyelidiki permasalahan kajian yang sedemikian, kajian ini mengambil pendekatan induktif sebagai pendekatan kajian. Data-data kajian dikumpul melalui lapan perbincangan kumpulan fokus yang diadakan di empat buah universiti awam Malaysia. Dalam setiap universiti, pengkaji mengadakan perbincangan dengan satu kumpulan pelajar Melayu dan satu kumpulan pelajar Cina. Data-data kajian menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan pelajar mengenal diri mereka secara etnik. Pengenalan diri yang sedemikian dikaitkan dengan hasrat untuk membentuk dan mengukuh solidariti etnik di kalangan mereka. Pelajar-pelajar Melayu berpendapat mereka perlu memelihara solidariti etnik bagi melindungi kedudukan orang Melayu di negara ini. Pelajar-pelajar Cina pula berasa solidariti etnik mereka perlu diperkukuh bagi menghadapi masalah peminggiran. Data-data kajian juga membuktikan peranan ahli keluarga serta rakan sebaya seetnik dalam membina kesedaran etnik kedua-dua kumpulan pelajar melalui proses sosialisasi budaya dan persaingan. Selain itu, kedua-dua kumpulan pelajar juga mempunyai kecenderungan untuk mengehadkan interaksi mereka dengan rakan-rakan universiti yang bukan seetnik. Perkara ini menunjukkan batasan etnik wujud dalam kalangan mereka. Sungguhpun demikian, data-data kajian juga menunjukkan bahawa batasan etnik kedua-dua kumpulan pelajar adalah bersifat anjal. Dalam keadaan dan keperluan tertentu, mereka boleh membelakangkan batasan etnik masing-masing. Hasil kajian ini memaparkan peranan yang dimainkan oleh pelajar Melayu dan Cina dalam membina kesedaran etnik mereka. Selaku anggota kumpulan etnik mereka, ahli keluarga dan rakan sebaya seetnik kedua-dua kumpulan pelajar turut memainkan peranan dalam membina dan mengukuh kesedaran etnik mereka melalui proses-proses sosialisasi etnik. Kesedaran etnik dibina atas hasrat untuk memobilisasi kesedaran tersebut bagi membentuk satu gerakan kolektif. Implikasinya, kesedaran etnik pelajar Melayu dan Cina membentuk batasan etnik mereka dan seterusnya menyumbang kepada polarisasi etnik di universiti awam Malaysia. Namun begitu, keadaan sedemikian tidak bersifat statik. Sebagai individu yang rasional, pelajar boleh mengetepikan kesedaran etnik mereka untuk memenuhi keperluan mereka yang pelbagai dari semasa ke semasa. Ringkasnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Banton melalui perspektif bottom-up beliau, kajian ini menunjukkan individu memainkan peranan yang besar dalam membina dan menentukan corak hubungan etnik di negara ini.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM 2013 6IR.pdf

Download (869kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Ethnicity - Malaysia
Subject: Ethnic groups - Malaysia
Subject: Public universities and colleges - Malaysia
Call Number: FEM 2013 6
Chairman Supervisor: Lee Yok Fee, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Hasimah Adam
Date Deposited: 18 Apr 2016 13:29
Last Modified: 18 Apr 2016 13:29
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/39231
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item