Citation
Yusoff, Muhamad Fadzil
(2012)
Kosmologi dalam puisi-puisi Zurinah Hassan.
PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini menganalisis puisi-puisi Zurinah Hassan dengan memberi tumpuan kepada unsur-unsur kosmologi yang terdapat di dalamnya. Tumpuan diberikan kepada kosmologi biotik dan kosmologi abiotik. Kosmologi biotik (benda hidup) dilihat melalui alam semesta yang hidup di atas muka bumi ini yang memerlukan satu sama lain untuk hidup, yang dapat dipecahkan kepada alam flora dan alam fauna. Manakala kosmologi abiotik iaitu benda bukan hidup yang dibahagikan
kepada dua, iaitu alam semula jadi dan alam buatan manusia.
Kajian ini berfokus kepada kumpulan-kumpulan perseorangan dan antologi puisi Zurinah Hassan iaitu Kumpulan Puisi Sesayup Jalan (1974), Kumpulan Puisi Di Sini Tiada Perhentian (1977), Kumpulan Puisi Keberangkatan (1985),
Kumpulan Puisi Pujangga Tidak Bernama (1994), Antologi Nota waktu (bersama Lim Swee Tin) (2003), Kumpulan Puisi Pesanan dari Gunung Ledang (2004) dan yang terakhir Kumpulan Puisi Salasilah (2005). Tiga objektif kajian adalah pertama, mengenalpasti unsur-unsur kosmologi biotik dan abiotik
yang terdapat dalam puisi-puisi Zurinah Hassan. Kedua, menganalisis unsurunsur kosmologi biotik dan kosmologi abiotik dengan mengaplikasi Teori Pengkaedahan Melayu dan yang ketiga menginterpretasi falsafah dan pemikiran
alam (kosmologi) dalam puisi-puisi Zurinah Hassan berdasarkan penanda kosmologi. Kaedah yang digunakan untuk menyempurnakan kajian ini ialah kaedah kepustakaan dan kaedah analisis kandungan (teks).
Kajian ini terbukti telah mencapai objektifnya dengan penemuan unsur-unsur kosmologi biotik (alam flora dan alam fauna) dan kosmologi abiotik (alam semula jadi dan alam buatan manusia) dalam puisi-puisi Zurinah Hassan. Unsur
kosmologi biotik yang ditemui ialah alam flora yang terdiri daripada (i) hutan rimba, rumput, padi, kacang, tebu dan kaduk, (ii) pepohon, reranting, dedaun dan duri, (iii) bunga, (iv) buah manakala alam fauna pula terdiri daripada (i) burung dan kupu-kupu, (ii) ikan, ketam dan buaya (iii) anai-anai dan semut, (iv) kucing dan singa, (v) rusa dan pelanduk, (vi) ayam, kambing dan lembu. Seterusnya,
kosmologi abiotik yang terdiri dari alam semula jadi iaitu (i) angin, ombak, laut dan pantai, (ii) hujan, (iii) sungai, (iv) tanah dan sawah manakala alam buatan manusia ialah (i) perahu dan bahtera, (ii) rumah, (iii) keris dan pisau, (iv) seruling, (v) gambar dan lukisan (vi) lilin dan pelita. Teori Pengkaedahan Melayu telah diaplikasikan untuk menganalisis unsur-unsur kosmologi biotik dan kosmologi abiotik dalam puisi-puisi Zurinah Hassan. Hasil dapatan menunjukkan puisi-puisi Zurinah Hassan menepati dengan dua
pengkaedahan yang digunakan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Melalui Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan puisi-puisi Zurinah Hassan menjadikan kosmologi sebahagian daripada diri dan
kehidupannya yang bersandarkan kepada keimanan dan akidah Islam. Ini dapat dilihat melalui unsur kosmologi yang menemukan falsafah serta pemikiran alam yang dapat dijadikan sebagai perlambangan, pengiktibaran,perbandingan, proses pembelajaran, sosiobudaya Melayu, pengerat kasih sayang, suara perjuangan untuk mendapatkan hak, maruah, kekuasaan Allah SWT,meningkatkan diri dalam mengingati Allah SWT, medan perjuangan dan sebagai motivasi untuk membina kejayaan. Selain itu, hasil kajian turut membuktikan peranan dan sumbangan penting Zurinah Hassan dalam dunia sastera khususnya puisi Melayu tanah air. Zurinah Hassan berjaya meletakkan unsurunsur kosmologi sebagai renungan untuk menemui makna kehidupan dengan
cara mengaitkan objek alam fizikal dengan kehidupan manusia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |