UPM Institutional Repository

Pemikiran ketatanegaraan Raja Ali Haji dalam Thamarat Al-Muhimmah


Citation

Yusof, Azman (2012) Pemikiran ketatanegaraan Raja Ali Haji dalam Thamarat Al-Muhimmah. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini berbentuk kajian teks klasik kitab Thamarat al-Muhimmah yang telah dihasilkan pada tahun 1276H bersamaan 1857M oleh pengarangnya yang bernama Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Objektif kajian ini dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu: (1) merumus pemikiran pengarang mengenai konsep kepimpinan dan ketatanegaraan, (2) menilai pemikiran pengarang mengenai falsafah keadilan dan kehakiman, dan (3) menafsir pemikiran pengarang tentang etika raja dan pemimpin. Matlamatnya adalah untuk menggarap dengan jelas pemikiran pengarang berdasarkan karyanya Thamarat al-Muhimmah tentang konsep ketatanegaraan. Di antara metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah metode penentuan subjek, metode pengumpulan data, dan metode analisis kandungan (content analysis). Secara umumnya, kajian ini dibahagikan kepada tujuh bab. Bab pertama adalah pendahuluan yang mengandungi pengenalan, permasalahan kajian, objektif kajian,kepentingan kajian, konsep ketatanegaraan, skop dan limitasi kajian, kaedah kajian, dan kajian-kajian lepas. Bab yang kedua memuatkan biografi Raja Ali Haji; latar keturunan,pendidikan, pengalaman dan signifikannya beliau dalam kegiatan intelektual dan politik di Riau-Lingga. Bab yang ketiga menghuraikan secara ringkas tentang genre ketatanegaraan, jenis-jenis karya ketatanegaraan dan pengaruhnya terhadap kesultanan Melayu. Bab ini juga turut menghuraikan masalah yang berhubungan dengan teks kajian; judul, tarikh penulisan,kandungan, dan naskhah rujukan. Seterusnya bab yang keempat membincangkan secara ringkas konsep kepemimpinan negara menurut Islam dan dibandingkan dengan konsep kepemimpinan negara dalam Thamarat al-Muhimmah. Turut dibincangkan juga struktur pemerintahan; bidangkuasa raja, wazir, dan mufti. Manakala bab yang kelima membahaskan secara terperinci berkaitan dengan “Tertib Kerajaan dan Aturan Mahkamah”, iaitu suatu huraian mengenai institusi pentadbiran undang-undang dan kehakiman negara. Perbahasan akan dimulakan dengan konsep keadilan menurut perspektif Islam dan kepentingannya kepada keutuhan sesebuah negara. Seterusnya, pengkaji membandingkannya dengan institusi pentadbiran undang-undang dan kehakiman sebagaimana yang diilustrasikan dalam Thamarat al-Muhimmah. Bab yang keenam, dibahaskan konsep etika menurut perspektif Islam dan hubungannya dengan kualiti kepemimpinan. Perbincangan terfokus kepada sejauhmanakah etika memberi kesan terhadap peranan pemimpin dalam menjalankan tugasnya memimpin negara dan apakah pola pemikiran Raja Ali Haji yang membentuk falsafah etikanya itu. Bab yang ketujuh adalah bab yang terakhir dalam kajian ini. Ia memuatkan kesimpulan dan beberapa dapatan hasil daripada kajian ini. Secara keseluruhannya, teks Thamarat al-Muhimmah ini menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan ketatanegaraan. Perkara-perkara yang terkandung dalam teks ini adalah bertepatan dengan wordview Islam. Justeru, segala yang digariskan dalam Thamarat al-Muhimmah adalah berupa pedoman dan panduan kepada raja atau pemerintah agar sentiasa berpegang kepada amanah sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM 2012 9R.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Raja Ali Haji - Criticism and interpretation
Subject: Ideology in literature - Malaysia
Subject: Leadership - Religious aspects - Islam
Call Number: FEM 2012 9
Chairman Supervisor: Zaid Ahmad, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 09 Jan 2015 00:59
Last Modified: 09 Jan 2015 00:59
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/32519
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item