Citation
Abdullah, Muhammad
(2004)
Pengeluaran Ikan dan Sayur-Sayuran Tropika Terpilih Menggunakan Kaedah Piskiponik.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Sumber air dan tanah yang semakin terhad menjadikan keperluan integrasi beberapa
bidang pertanian semakin penting. Kajian ini dijalankan untuk menilai potensi
mengeluarkan ikan dan sayur-sayuran tropika dalam satu sistem integrasi
menggunakan kaedah piskiponik iaitu gabungan piskikultur dan hidroponik.
Satu eksperimen telah dijalankan untuk menentukan kesan paras larutan nutrien
hidroponik terhadap mutu air, kemandirian dan pertumbuhan ikan baung (Mystus
nemurus), keli Afrika (Clarias gariepinus) dan tilapia merah (Oreochromis sp.).
Keputusan menunjukkan kepekatan larutan hidroponik ketara memberi kesan
terhadap parameter mutu air. Konduktiviti dan kepekatan amonia-N meningkat
secara bererti (P<0.05) dengan peningkatan paras larutan hidroponik dalam air. Julat
konduktiviti dan amonia-N masing-masing adalah 0.43-2.59 mmhos dan 3.00-17.52
mg L-1. Pada semua spesies ikan, kemandirian dan pertumbuhan ikan menurun secara
bererti (P<0.05) dengan peningkatan kepekatan larutan hidroponik. Purata
kemandirian dan kadar pertumbuhan spesifik masing-masing adalah 74.45% dan 2.82% hari-1 bagi ikan tilapia merah, 54.45% dan 2.28% hari-1 bagi keli Afrika, dan
29.31% dan 0.64% hari-1 bagi baung. Kajian ini menunjukkan bahawa tilapia merah
adalah spesies kajian yang paling tahan pada kepekatan larutan hidroponik.
Bagaimanapun kepekatan larutan hidroponik yang tinggi (>25%) memberikan kesan
hiperplasia pada tisu insang bagi semua spesies ikan kajian.
Satu lagi eksperimen telah dijalankan untuk menentukan kesan penggunaan 25%
larutan hidroponik dan penggunaan spesies sayur-sayuran yang berbeza iaitu sawi
mini (Brassica chinensis), kailan (Brassica alboglabra) dan salad daun (Lactuca
sativa)) terhadap pertumbuhan dan penghasilan ikan tilapia merah, Oreochromis sp.
di dalam sistem piskiponik. Keputusan menunjukkan pertumbuhan, kemandirian,
nisbah pertukaran makanan, nisbah kecekapan protein dan penghasilan ikan tilapia
merah tidak dipengaruhi (P>0.05) oleh penambahan larutan hidroponik dan jenis
sayur-sayuran yang berbeza. Kemandirian ikan tilapia merah adalah di antara 52.3-
75.7% dengan jumlah penghasilan di antara 15.2-21.1 kg m-3 tuai-1 (18 minggu).
Bagaimanapun, penambahan 25% larutan hidroponik telah meningkatkan
pertumbuhan dan penghasilan secara bererti (P<0.05) bagi ketiga-tiga jenis sayursayuran.
Salad daun memperolehi hasil tertinggi (6.44 kg m-2 tuai ikan-1) diikuti sawi
mini dan kailan (3.82 dan 1.52 kg m-2 tuai ikan-1, masing-masing).Satu eksperimen yang serupa juga dijalankan menggunakan ikan keli Afrika, Clarias
gariepinus.Tidak seperti tilapia merah, keputusan menunjukkan penambahan 25%
larutan hidroponik memberi kesan negatif secara bererti (P<0.05) terhadap
kemandirian, nisbah pertukaran makanan, nisbah kecekapan protein dan penghasilan ikan keli Afrika. Kemandirian ikan keli Afrika adalah di antara 9.3-64.0% dengan
jumlah penghasilan di antara 2.1-17.1kg m-3 tuai-1 (10 minggu).Bagaimanapun,
penambahan larutan hidroponik memberi kesan positif bererti (P<0.05) terhadap
pertumbuhan dan penghasilan sayur-sayuran. Jumlah penghasilan sayur-sayuran yang
tertinggi diperoleh oleh sawi mini (0.80kg m-2 tuai ikan-1) diikuti salad daun (0.57kg
m-2 tuai ikan-1) dan kailan (0.26kg m-2 tuai ikan-1). Pengeluaran ini adalah jauh lebih
rendah berbanding jika tilapia digunakan.
Dalam kesemua siri eksperimen dalam kajian ini, tiada penapis biologi yang khusus
digunakan.Oleh itu, sayur-sayuran bukan sahaja mengambil nutrien dari kumuhan
ikan, tetapi juga memainkan peranan dalam proses penapisan air. Integrasi kultur
ikan tilapia merah dan salad daun memberikan keputusan yang terbaik dan dijadikan
model pengeluaran makanan secara berterusan menggunakan sistem piskiponik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |