UPM Institutional Repository

Jati diri Melayu dalam kumpulan puisi pilihan A. Aziz Deraman


Citation

Kamarudin, Syaidul Azam (2011) Jati diri Melayu dalam kumpulan puisi pilihan A. Aziz Deraman. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini merupakan satu analisis tentang jati diri Melayu dalam kumpulan puisi pilihan A. Aziz Deraman iaitu Kau dan Aku (1994), Bahtera Madani (2001), Gapura Diri (2002), Bicara Kasih (2004), Zaman Baru (2006) dan Mahligai Kencana (2009). Jati diri Melayu merupakan elemen yang terpenting kerana di dalamnya terkandung khazanah bangsa yang harus dipertahankan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam konteks pembangunan dan pemantapan jati diri masyarakat Melayu kajian ini adalah penting kerana melalui pemahaman jati diri yang mantap akan terpancar ketatasusilaan, kebijaksanaan, ketaatan, akhlak dan pekerti bangsa Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman. Hal ini wajar diberi perhatian yang serius terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi yang dikatakan mampu mengubah jati diri sesuatu bangsa. Hasil penelitian kajian-kajian lepas rata-rata menyentuh unsur-unsur jati diri. Namun penerokaan aspek jati diri Melayu secara khusus dalam kumpulan puisi pilihan A. Aziz Deraman masih belum diusahakan dengan lebih mendalam. Pengkaji melihat bahawa hasil sastera Melayu seperti ini haruslah dikaji, dinilai, difahami dan dibongkar maknanya kerana bermanfaat untuk masyarakat. Teori Pengkaedahan Melayu janaan Hashim Awang memperkenalkan dua pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua pengkaedahan utama ini turut memperlihatkan pertalian dan perkaitan antara satu sama lain. Dua objektif kajian adalah pertama, mengenalpasti dan menganalisis jati diri Melayu dalam puisi-puisi A. Aziz Deraman dari sudut teori Pengkaedahan Melayu. Kedua, mengutarakan faktor-faktor yang membantu pencitraan jati diri Melayu dalam puisipuisi A. Aziz Deraman. Teori Pengkaedahan Melayu telah diaplikasikan untuk mengenalpasti dan menganalisis jati diri Melayu yang terdapat dalam kumpulan puisi karya A. Aziz Deraman. Hasil dapatan menunjukkan puisi-puisi A. Aziz Deraman jelas mengutarakan jati diri Melayu. Ini dapat dikenalpasti melalui pemaparan dan pandangan penyair terhadap jati diri Melayu dalam aspek bahasa dan sastera Melayu, jati diri Melayu dalam aspek keagamaan dan jati diri Melayu dalam aspek kebudayaan Melayu. Ketiga-tiga teras jati diri Melayu dalam puisi-puisi A. Aziz Deraman ini menggambarkan pemahaman dan kesedaran A. Aziz Deraman tentang aspek jati diri Melayu yang harus kekal wujud dalam dirinya sekali gus sebagai pembinaan bangsa Melayu. Penganalisisan terhadap puisi-puisi A. Aziz Deraman membuktikan bahawa faktor-faktor yang dijana dari dalam diri penyair seperti iltizam yang padu, minat yang mendalam, pendirian penyair yang teguh dan disebatikan dengan keyakinan Islam digembleng dengan faktor-faktor lain seperti kepelbagaian pengalaman, latar pendidikan, pemerhatian dan renungan, institusi kekeluargaan yang mesra, peningkatan usia, kembara penyair, serta keterlibatan secara langsung dalam institusi seni, budaya, bahasa dan sastera menjadi faktor utama kepada pencetus kelahiran puisi-puisinya yang jelas mencitrakan jati diri Melayunya. Kajian juga mendapati bahawa ketulenan jati diri kemelayuan yang dimiliki oleh A. Aziz Deraman yang terpancar melalui puisi- puisinya dapat berperanan sebagai pengiktibaran dan peringatan, penyampai nasihat, membawa kemanfaatan dan menemukan kemuafakatan kepada masyarakat berlandaskan kepada ajaran dan etika Islam yang menjadi jalinan prinsip penting dalam Pengkaedahan Melayu. Sekali gus mencirikan kepenyairannya yang mempunyai jati diri kemelayuan yang mantap. Oleh yang demikian, pengkajian jati diri Melayu dalam puisi-puisi beliau adalah relevan untuk kepentingan masyarakat, bangsa dan negara pada masa kini dan akan datang.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2011 56R.pdf

Download (799kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Malay poetry - History and criticism
Subject: Malays (Asian people) in literature
Call Number: FBMK 2011 56
Chairman Supervisor: Profesor Madya Hajah Samsina Abd. Rahman, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 28 Feb 2014 00:50
Last Modified: 28 Feb 2014 00:50
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/27352
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item