Citation
Jumaat, Nurhidayah
(2010)
Sistem Tulisan Jawi dan Kosa Kata Dalam Manuskrip Risalah Hukum Kanun.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menghuraikan dan memberikan penjelasan tentang sistem tulisan Jawi dan kosa kata dalam manuskrip Risalah Hukum Kanun. Risalah Hukum Kanun yang dijadikan naskhah dasar dalam kajian ini ialah versi Dublin, United Kingdom yang bernombor 1638, bertarikh 16 Syaaban 1216 H bersamaan 22 Disember 1801 M. Manuskrip ini diperoleh daripada Pusat Manuskrip, Perpustakaan Negara Malaysia dalam bentuk mikrofilem bernombor MKM4646. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis sistem tulisan Jawi klasik yang terdapat dalam manuskrip Risalah Hukum Kanun dan membandingkannya dengan ejaan Jawi baharu serta menjelaskan pengertian kosa kata yang sukar difahami yang terdapat dalam teks tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan filologi yang merangkumi transliterasi, anotasi, dan analisis teks. Transliterasi yang dilakukan adalah berdasarkan edisi standard. Manakala anotasi dan analisis pula menggunakan kaedah kajian teks, konteks, dan ko-teks yang diperoleh melalui kajian kepustakaan dan data tersebut dianalisis secara kualitatif. Analisis sistem tulisan Jawi adalah berdasarkan pada model analisis yang khusus, iaitu Sistem Ejaan Jawi Matlob yang diubahsuai dan Teori Evolusi Jawi Kang Kyoung Seock.
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa sistem ejaan Jawi dalam Risalah Hukum Kanun mengandungi banyak ejaan Jawi Tradisi yang telah mengalami perubahan dalam ejaan Jawi baharu tetapi masih menunjukkan kesinambungannya. Selain itu, kajian ini juga menjelaskan beberapa pengertian kosa kata yang sukar difahami dan setiap kosa kata tersebut diberi anotasi dalam transliterasi teks. Oleh itu, pemahaman tentang sistem tulisan Jawi dan kosa kata adalah signifikan dalam memahami kandungan Risalah Hukum Kanun khususnya dan manuskrip Melayu klasik umumnya.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |