Citation
Berita Harian, Syuhada Choo Abdullah
UPM bermula dengan sekolah pertanian.
(9 November 2001), (Call Number: L 2001 1)
Abstract
SELEPAS 70 tahun mengharungi cabaran, Universiti Putra Malaysia (UPM) semakin gah sebagai salah sebuah universiti terbesar di negara ini dengan matlamat menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) yang unggul hingga ke peringkat antarabangsa. Sejarah UPM bermula seawal 21 Mei 1931 yang menyaksikan penubuhan sebuah institusi pendidikan yang memberi tumpuan dan penekanan kepada pengajian dalam bidang pertanian di Tanah Melayu. John Scott, Pegawai Pentadbir Kerajaan Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi `Ex-Officio' Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada ketika itu bertanggungjawab mengasaskan pembukaan Sekolah Pertanian di kawasan seluas 8.8 hektar di Serdang, Selangor. Tujuannya ialah menyediakan pegawai untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di Jabatan Pertanian. Sebagai permulaan, hanya dua jenis program ditawarkan, iaitu pengajian diploma selama tiga tahun dan kursus sijil selama setahun. Selepas menyediakan peluang pendidikan selama 10 tahun, sekolah itu berjaya melahirkan 155 pemegang diploma dan 166 lulusan sijil. Menyedari kepentingan peranan dan kemampuan sekolah berkenaan, Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gent, mengambil keputusan untuk mengisytiharkannya sebagai Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1942. Kecemerlangan kolej itu kian mendapat perhatian sehingga pada 1948, timbul cadangan menaikkan tarafnya kepada universiti. Bagaimanapun, hasrat itu tertangguh berikutan meletusnya darurat pada pertengahan tahun berkenaan. Bagaimanapun apabila Fakulti Pertanian Universiti Malaya (UM) ditubuhkan pada 1960, Majlis Kolej Pertanian Malaya diluluskan sebagai satu pihak berkuasa universiti berkenaan (yang ketika itu terletak di Singapura) pada 1 Januari 1962. Pembangunan bidang pertanian semakin maju dan merupakan antara tunjang ekonomi tanah air sekali gus menyerlahkan lagi kepentingan memperkembangkan Kolej Pertanian Malaya. Justeru di bawah Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970), kolej berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM7.9 juta untuk melaksanakan pembangunan. Peruntukan itu diguna untuk mempertingkatkan pengambilan pelajar, membina dewan kuliah dan makmal sains, mendapatkan lebih banyak kawasan bagi perkembangan kolej, serta menambah bilangan pegawainya. Peluang merealisasikan hasrat mewujudkan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian pada peringkat ijazah kian cerah apabila penubuhannya dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, pada 31 Mac 1969 di majlis perasmian bangunan tambahan Kolej Pertanian Malaya di Serdang. Akhirnya, impian `emas' itu menjadi kenyataan pada 4 Oktober 1971 dan penubuhan Universiti Pertanian Malaysia diaktakan sebagai satu Perintah Perbadanan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, disiarkan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 387 bertarikh 29 Oktober 1971. Penubuhan universiti berkenaan dibuat berasaskan gabungan Kolej Pertanian Malaya dengan Fakulti Pertanian UM, dan Dr Mohd Rashdan Baba (ketika itu) diberi penghormatan sebagai Naib Canselor pertama menerusi peruntukan perintah di bawah Seksyen 18 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Jilid 15 Bil 22 dikeluarkan pada 4 November 1971 dalam P.U. (A) 407. Dr Mohd Rashdan adalah Pengetua Kolej Pertanian Malaya dari 1965 sehingga 1969. Pada 1 Januari 1972, Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan serta Fakulti Perhutanan ditubuhkan, diikuti penubuhan Fakulti Pertanian pada Disember tahun yang sama. Seterusnya pada 15 Jun 1973, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menjadi Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia, manakala Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Datuk Ong Kee Hui pula dilantik sebagai Pro Canselor. Tanggal 23 Julai 1973, Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya yang pertama dengan tiga fakulti asas, iaitu Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan serta Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan di samping satu bahagian Sains Asas, bersama 1,559 pelajar. Mereka mengikuti program pengajian Bacelor Sains Pertanian, Bacelor Sains Perhutanan, Doktor Perubatan Veterinar, Diploma Pertanian, Diploma Teknologi Rumahtangga, Diploma Sains Penternakan, Diploma Sains dengan Pendidikan, serta Program Pendahuluan. Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Putra Malaysia berlangsung dengan penuh istiadat pada 30 Julai 1977. Bagaimanapun, penawaran program akademik universiti berkenaan tidak terbatas setakat itu saja. Sejak tahun permulaan lagi, Universiti Pertanian Malaysia tidak jemu mengambil inisiatif serta berusaha mempertingkatkan aliran pengajian sains. Universiti itu beroperasi dengan berpandukan kepada tiga kegiatan utama, iaitu pengajaran, penyelidikan dan pengembangan, sebagai asas sumbangannya kepada masyarakat. Pegangan falsafahnya ialah `ilmu untuk berbakti'. Ini bertepatan dengan misinya untuk menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan unggul dan ulung yang memberi sumbangan bukan sahaja kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu tetapi juga pembentukan kekayaan dan pembangunan negara. Iltizamnya ialah cemerlang dalam pendidikan bagi melahirkan individu pemikir yang berilmu, kreatif, berdisiplin serta dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan di samping berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Universiti Pertanian Malaysia mengalami satu lagi titik perubahan bersejarah yang besar apabila diisytihar dengan nama baru, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 3 April 1997 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Pengisytiharan nama baru itu ternyata selaras dengan pencapaian gemilang serta pembabitan bersungguh-sungguh UPM dalam bidang sains dan teknologi.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |