UPM Institutional Repository

UPM tingkat kesedaran awam terhadap konservasi burung enggang


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) UPM tingkat kesedaran awam terhadap konservasi burung enggang. [UPM News]

Abstract

SABAK BERNAM, 2 Julai – Sekumpulan pensyarah dan pelajar dari Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meningkatkan kesedaran awam terhadap konservasi burung enggang buat kali ketiga di Kampung Parit 13, Sungai Panjang. Mereka mengadakan aktiviti pengembangan kepada penduduk kampung tentang apresiasi kepada burung enggang dan usaha pemuliharaan burung di kawasan itu. Dengan keperihatinan terhadap pemuliharaan burung enggang, kelangsungan hidup spesies itu boleh ditonton oleh generasi akan datang dan boleh dijadikan daya tarikan aktiviti pelancongan di Malaysia. Pengerusi program, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata kajian menunjukkan bahawa burung enggang di negara ini hampir pupus akibat kehilangan habitat semulajadi sehingga haiwan itu cuba beradaptasi dengan persekitaran manusia seperti sekarang. “Tiga tahap program konservasi yang dilaksanakan ialah kajian ekologi burung dan interaksi dengan manusia, kempen kesedaran dan sokongan awam serta konservasi burung. “Ini adalah aktiviti ketiga dalam usaha menambah bilangan burung yang terjejas populasinya di habitat semulajadi. Tanpa sokongan masyarakat, pemuliharaan enggang ini akan pupus,” katanya. Pelajar program master, Nurul Huda Mohd Jamil berkata salah satu spesies burung enggang yang beradaptasi di kampung itu ialah Enggang Kelingking ataupun Southernpied Hornbil. “Pada awalnya adaptasi burung ini memberi kesulitan kepada penduduk kampung kerana sering merosakkan hasil tanaman, bagaimanapun dengan adanya program ini, ia dapat menyuntik perasaan sayang terhadap haiwan ini,” katanya. Sementara itu, Ketua Kampung Parit 13, Mohd Ariffin Enan berkata burung enggang menjalani kehidupan yang unik kerana ia menjadikan tempayan sebagai tempat berlindung dan bertelur. “Burung enggang betina akan masuk ke dalam tempayan mengikut musim untuk bertelur dan mengambil masa selama tiga bulan untuk menetas. “Burung enggang jantan pula akan menutup lubang tempayan dengan tanah dan meninggalkan sedikit ruang untuk memberi makan kepada burung enggang betina. Enggang betina tidak akan makan makanan yang diberikan oleh manusia selain enggang jantan,” katanya. Antara aktiviti lain yang dijalankan dalam program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhilitan itu ialah pertandingan mewarna burung enggang untuk kanak-kanak, baling dart dan dam burung untuk ibubapa serta kuiz burung enggang kepada semua penduduk yang hadir.


Download File

[img]
Preview
PDF
UPM_tingkat_kesedaran_awam_terhadap_konservasi_burung_enggang.pdf

Download (223kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Divisions: Universiti Putra Malaysia
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 05 Aug 2011 04:35
Last Modified: 27 May 2013 07:57
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/18051
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item