Citation
Ahmad, Mohd Zaki
(2020)
Penggunaan ayat ruqyah dalam buku Siri Pengajian Pengubatan Islam berdasarkan pendekatan pragmatik.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Ayat dalam al-Quran bukan sahaja mendukung makna asalnya, malah turut
mengaplikasikan fungsi maknanya sebagai terapeutik kaedah ruqyah. Fungsi
penggunaan ayat ruqyah melalui ayat al-Quran dapat dikesan menggunakan pendekatan
pragmatik. Justeru objektif pertama kajian ini adalah untuk mengenal pasti ayat ruqyah
bersumberkan al-Quran yang digunakan dalam rawatan terapeutik penyakit fizikal,
fizikal separa, spiritual dan spiritual separa. Kedua, membuktikan bahawa penggunaan
makna sebenar ayat ruqyah dapat dikesan melalui analisis pragmatik menggunakan
Teori Relevans (TR), dan ketiga merumuskan fungsi makna sebenar penggunaan ayat
ruqyah dalam buku Siri Pengajian Pengubatan Islam Darussyifa’ (SPPID). Kajian ini
menggunakan pendekatan kualitatif. Kaedah analisis kandungan teks dan temu bual
pakar digunakan untuk mengesan makna sebenar ayat ruqyah. Data korpus sebagai data
primer dipilih daripada buku Siri Pengajian Pengubatan Islam Darussyifa’ terbitan tahun
2019. Data kajian dianalisis menggunakan kerangka teoretis TR yang digagaskan oleh
Sperber & Wilson (1986, 1995, 2012). Hasil kajian mendapati bahawa terdapat 88 data
ayat ruqyah dan 114 jenis penyakit. Hasil kajian juga mendapati bahawa kesemua 88
ayat ruqyah tersebut amat signifikan digunakan untuk merawat lebih daripada satu jenis
penyakit. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa TR dapat merungkai persoalan dan
makna sebenar penggunaan ayat ruqyah. Makna sebenar yang ditemui adalah sebagai
penawar, peringatan, petunjuk, dan rahmat. Mesej tersirat yang disampaikan di sebalik
makna sebenar pula ialah makbul doa, perlindungan hakiki, tipu daya syaitan, ubudiah
kunci pertolongan, kesan tasbih, kesan alunan al-Quran, kalimat teragung, membatalkan
sihir, mengalahkan dukun, ejen penyembuhan, terbuka hijab, berkat nikmat, nur Ilahi,
memudahkan kelahiran, penahan sesuatu, bekalan pahala, dan terapi al-Quran. TR turut
terbukti dapat merungkai proses kognitif terhadap andaian implikatur dalam ayat ruqyah.
Selain itu, TR juga membuktikan bahawa konsep ad-hoc mampu untuk membantu
proses pemahaman makna sebenar dengan lebih efisien, dan sekali gus dapat
memperlihatkan makna sebenar ayat ruqyah yang bersifat pragmatik. Pendekatan
ruqyah taswiriyyah pula diandaikan memberi kesan penyembuhan yang tinggi melalui
prosedur pemahaman TR. Di samping itu, hasil kajian ini juga mendapati bahawa
terdapat empat fungsi utama ayat ruqyah, iaitu (i) sebagai peringatan dan medium
perlindungan di bawah naungan Allah daripada kejahatan segala makhluk ciptaan-Nya,
(ii) penawar dan agen penyembuhan penyakit manusia, yang sekali gus memainkan
peranan penting sebagai komplementari rawatan alopati atau boleh menjadi rawatan
alternatif, (iii) menjadi petunjuk dan panduan dalam perubatan dan pengubatan kaedah
ruqyah untuk menjaga kesihatan fizikal, mental, spiritual mahupun sosial, dan (iv)
rahmat kepada orang-orang yang beriman yang meyakini penyembuhan daripada al-
Quran. Secara keseluruhan, kajian ini merumuskan bahawa TR dapat merungkai makna
pragmatik yang diaplikasi dalam rawatan terapeutik kaedah ruqyah, serta dapat
memperlihatkan fungsi makna sebenar ayat ruqyah sebagai agen dan modaliti
penyembuhan penyakit spiritual dan juga fizikal manusia.
Download File
Additional Metadata
| Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
| Subject: |
Qurʼan - Therapeutic use |
| Subject: |
Ruqyah (Islamic liturgy) |
| Subject: |
Islamic medicine |
| Call Number: |
FBMK 2020 73 |
| Chairman Supervisor: |
Muhd Zulkifli bin Ismail, PhD |
| Divisions: |
Faculty of Modern Language and Communication |
| Keywords: |
Pragmatic analysis; Relevance theory; Ad-hoc meaning; Ruqyah
Taswiriyyah; Quranic therapeutics. |
| Depositing User: |
Ms. Rohana Alias
|
| Date Deposited: |
09 Apr 2026 05:52 |
| Last Modified: |
09 Apr 2026 05:52 |
| URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/124289 |
| Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
 |
View Item |