UPM Institutional Repository

UPM, Exxon Mobil tanam 1,800 pokok hutan


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) UPM, Exxon Mobil tanam 1,800 pokok hutan. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 15 Mei – Pelbagai cara dilakukan untuk menunjukkan rasa cinta terhadap alam sekitar, salah satunya dengan melakukan aktiviti penanaman pokok. Aktiviti itu dilakukan oleh kira-kira 200 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kanak-kanak kurang bernasib baik daripada Rumah Titian Kasih, Kuala Lumpur dalam program Penanaman Pokok anjuran UPM-Exxon Mobil di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong. Sebanyak 1800 anak pokok hutan daripada pelbagai spesies termasuk yang jarang dijumpai berjaya ditanam antaranya Meranti Pipit, Merawan Siput Jantan, Meranti Rambai Daun, Meranti Sarang Punai, Meranti Tembaga, Keruing Kertas, Merawan Meranti, Sepetir Daun Licin dan Merbau. Timbalan Naib Canselor (Industri dan Hubungan Masyarakat), Prof. Dr. Tai Shzee Yew dalam ucapan pelancaran berkata program itu bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pemuliharaan alam sekitar selain menggalakkan kelestarian bumi hijau. Tambahnya, program itu juga bertujuan menambah spesies pokok di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam yang mana akan dijadikan kawasan penyelidikan hutan bagi staf dan pelajar UPM. “Program ini membuktikan UPM dan Exxon Mobil menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus bumi di Malaysia diliputi tumbuhan hijau seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri pada Conference Climate Copenhagen ke 15 Disember 2009,” katanya. Turut hadir pada program itu, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr. Abdul Rahim Nik dan Dekan Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Datin Dr. Faridah Hanum Ibrahim. Dr. Abdul Rahim ketika membacakan teks ucapan menterinya, Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata, Kementerian itu menyasarkan penanaman 26 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2014 dalam usaha mengurangkan kepanasan global dan perubahan cuaca. “Namun usaha ini perlu digiatkan lagi dan saya menyeru agar semua pihak termasuk penduduk serta sektor korporat di negara ini bekerjasama menanam pokok sekali gus dapat membantu menyedut gas karbon dioksida yang terhasil daripada CHG (pelepasan gas rumah hijau). Sementara itu, Pengerusi Exxon Mobil Malaysia Hugh W. Thompson berkata syarikat itu menjangkakan menanam 5,000 anak pokok di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong, menjelang akhir tahun depan, menerusi projek komuniti syarikat itu. Menurut Thompson setakat ini sebanyak 3,300 benih pokok berjaya ditanam menerusi program penanaman pokok dengan usaha sama Universiti Putra Malaysia. "Kami yakin dengan mengurangkan impak tenaga terhadap alam sekitar, dapat menyediakan masa depan yang lebih lestari. "Strategi kami dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bertumpu terhadap meningkatkan kecekapan dalam operasi harian kami, menggunakan teknologi kecekapan tenaga baharu," katanya. Selain menyokong inisiatif pemulihan hutan, beliau berharap program penanaman pokok itu akan memberi manfaat terhadap pembangunan industri perhutanan Malaysia.


Download File

[img]
Preview
PDF
UPM,_Exxon_Mobil_tanam_1,800_pokok_hutan.pdf

Download (159kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Anas Yahaya
Date Deposited: 18 May 2011 05:10
Last Modified: 27 May 2013 07:51
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/12380
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item