Citation
Sarlan, Mohamad Saidi
(2022)
Peranan pembelajaran digital dan ruang ke atas murid masalah pembelajaran di sekolah menengah aliran PPKI di Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Murid bermasalah pembelajaran merupakan antara murid yang berisiko dalam aspek
pemahaman dan penyimpanan maklumat berikutan keupayaan mereka dalam memberi
tumpuan yang lemah. Istilah murid masalah pembelajaran juga merujuk kepada murid
yang mempunyai pelbagai masalah khususnya dari segi membaca, menulis dan mengira.
Persekitaran pembelajaran merupakan satu elemen penting yang perlu diberi perhatian
dalam usaha meningkatkan pengalaman pembelajaran murid-murid ini. Persekitaran
pembelajaran juga merupakan tempat berlakunya pembelajaran samada dalam konteks
sosial, psikologikal dan pedagogikal yang mampu mempengaruhi pencapaian, sikap dan
pengalaman pembelajaran murid seperti ini. Bagaimanapun, masih kurang kajian
terperinci di Malaysia mengenai peningkatan pengalaman pembelajaran murid masalah
pembelajaran dengan berbantukan teknologi digital di dalam persekitaran pembelajaran
mereka. Bagi membentuk masa depan yang lebih cemerlang untuk golongan istimewa
ini, kefahaman terhadap bagaimana mereka belajar, keperluan dan potensi teknologi
digital yang harus disediakan untuk mereka serta reka bentuk ruang pembelajaran baharu
yang sesuai perlu diterokai. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti peranan
pembelajaran digital ke atas pengalaman pembelajaran murid pendidikan khas masalah
pembelajaran berdasarkan pandangan guru dan murid pendidikan khas di sekolah
menengah di Malaysia. Konstruk atau dimensi utama di dalam kajian ini adalah
pengalaman pembelajaran digital, pengalaman pembelajaran murid masalah
pembelajaran, kualiti pembelajaran digital dan kesan pembelajaran digital terhadap
pengalaman murid masalah pembelajaran. Teori Aktiviti oleh Engeström dan Teori
Kitaran Pembelajaran Kolb mendasari kajian ini. Pendekatan kualitatif kajian kes
instrumental dipilih untuk menyempurnakan penyelidikan dan menjawab persoalan
kajian; pengalaman pembelajaran yang perlu disediakan, peranan pembelajaran digital
dan fungsi ruang di dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang berkesan kepada
murid masalah pembelajaran. Pendekatan dan kaedah ini dipilih kerana berkemampuan
untuk menjawab persoalan kajian yang ingin memahami perjalanan pengajaran muridmurid
masalah pembelajaran sepanjang keterlibatan responden dalam mendidik murid
pendidikan khas ini. Teknik temu bual separa berstruktur digunakan untuk mengumpul data dari 5 orang responden dari sekolah-sekolah yang menjalankan Program Pendidikan
Khas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Mereka terdiri daripada guru-guru pendidikan khas masalah pembelajaran yang
berpengalaman yang menceritakan pengalaman mereka dalam pengajaran dan
pembelajaran murid masalah pembelajaran. Data dianalisis dengan menggunakan
kaedah analisis perbandingan secara berterusan menggunakan perisian Atlas.ti 9 dengan
membina kategori dan tema untuk menjawab persoalan kajian. Penemuan kajian
mendapati pengalaman pembelajaran yang ditumpukan untuk diberikan kepada murid
masalah pembelajaran mengandungi 6 buah tema iaitu adalah pengurusan diri,
kemahiran akademik, meningkatkan kualiti diri, membina jati diri, kemahiran
interpersonal dan kemahiran untuk kerjaya. Kajian ini juga mendapati kesan penggunaan
teknologi digital dalam membantu mencapai matlamat di dalam pengajaran murid
masalah pembelajaran mengandungi 7 tema iaitu interaksi fizikal–maya, interaksi
murid–bahan, perhatian dan tumpuan, motivasi diri, menyokong pembangunan jati diri
murid, pembelajaran menyeronokkan dan pengurusan tingkahlaku dan pengukuhan.
Hasil temu bual juga mendapati peranan ruang dalam memberikan impak terhadap
pengalaman pembelajaran murid masalah pembelajaran mengandungi 5 tema iaitu
menyokong pedagogi guru, kepelbagaian setting, keselesaan pembelajaran, perubahan
tingkah laku dan penguasaan murid. Kajian ini telah menyumbang kepada program
Pendidikan Khas dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran murid masalah
pembelajaran. Kajian juga memberi implikasi ke atas kualiti amalan pengajaran guru
Pendidikan Khas terutama di dalam mengoptimumkan penggunaan ruang dan teknologi
digital di dalam mendidik murid-murid bermasalah pembelajaran.
Download File
Additional Metadata
| Item Type: |
Thesis
(Masters)
|
| Subject: |
Education |
| Subject: |
Educational Technology |
| Subject: |
Special Education |
| Call Number: |
FPP 2024 19 |
| Chairman Supervisor: |
Profesor Madya Habibah bt Ab Jalil, PhD |
| Divisions: |
Faculty of Educational Studies |
| Keywords: |
Digital learning; Learning environment; Students with learning difficulties; Special education; Secondary schools; Malaysia; Learning experience; Educational technology; Teacher perspectives; Student achievement |
| Depositing User: |
MS. HADIZAH NORDIN
|
| Date Deposited: |
20 Jan 2026 08:48 |
| Last Modified: |
20 Jan 2026 08:48 |
| URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/122510 |
| Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
 |
View Item |