Citation
Kunasegran, Kavenia
(2023)
Pendekatan pembelajaran multisensori dalam penguasaan literasi murid disleksia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Murid disleksia mempunyai masalah bacaan dalam proses pembelajaran mereka. Hal ini
kerana mereka menghadapi cabaran dalam diskriminasi huruf secara visual dan auditori.
Kajian ini memfokuskan pendekatan pembelajaran multisensori dalam penguasaan
literasi murid disleksia. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti masalah bacaan
mengikut konstruk literasi LINUS dan menjelaskan kesalahan bacaan mengikut Teori
Levinson (1994) dalam kalangan murid disleksia. Seterusnya, pengkaji akan
mengaplikasikan pendekatan pembelajaran multisensori untuk mengatasi masalah
tersebut dan menganalisis keberkesanan pendekatan pembelajaran multisensori dalam
aspek bacaan literasi murid disleksia. Kajian ini bersandarkan reka bentuk kajian
gabungan, iaitu “mixed-method” dengan mengaplikasikan kedua-dua reka bentuk
kualitatif dan kuantitatif. Pengkaji menggunakan reka bentuk penyelidikan A-B-A untuk
menentukan keberkesanan pembelajaran multisensori dalam penguasaan literasi murid
disleksia melalui tiga fasa, iaitu garis dasar (A) , intervensi (B) dan penyelenggaraan (A).
Kajian ini menggunakan beberapa teori dan pendekatan. Dalam menjelaskan kesalahan
bacaan dalam kalangan murid disleksia, pengkaji menggunakan Teori Levinson
Disleksia (1994). Pendekatan Orton-Gillingham (1948) dan pendekatan Literasi
Berstruktur (2004) digunakan dalam pengaplikasian pendekatan pembelajaran
multisensori. Teori Fonologikal Defisit Disleksia (1999) pula digunakan dalam
menganalisis keberkesanan multisensori dalam penguasaan literasi murid disleksia.
Pengkaji memilih Pusat Disleksia Malaysia (Ampang) sebagai lokasi kajian. Kajian ini
melibatkan seramai 10 orang murid disleksia sebagai subjek kajian dan 15 orang guru
disleksia sebagai responden kajian. Pengkaji telah menggunakan kaedah pemerhatian,
temu bual dan kaji selidik. Pengkaji menggunakan Ujian Diagnostik Bacaan Literasi
LINUS, Teks bacaan Tahap 1, Kit Dys-Literasi Multisensori dan borang soal selidik
sebagai alat kajian. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa subjek kajian mempunyai
masalah bacaan mengikut konstruk LINUS yang menilai 12 kemahiran membaca.
Pengkaji mendapati bahawa murid disleksia tidak menguasai aspek fonemik, fonetik dan
fonologikal bahasa. Pengkaji juga mendapati bahawa beberapa dapatan kajian di luar
jangkaan Teori Levinson (1994). Hasil kajian ini mendapati bahawa murid disleksia tidak melakukan kesalahan “pemeluwapan” (condensation) yang diperincikan dalam
Teori Levinson (1994). Pengaruh bacaan fonik bahasa Inggeris juga menjejaskan
kemahiran membaca murid disleksia dalam bahasa Melayu. Dalam objektif terakhir
kajian ini, pengkaji menganalisis keberkesanan pendekatan pembelajaran multisensori
dan telah membuktikan peningkatan yang signifikan dalam kemahiran literasi murid
disleksia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |