Citation
Hassan@Zulkifli, Muhammad Zarif
(2022)
Penilaian kandungan teks novel mata pelajaran Kesusasteraan Melayu berdasarkan Gagasan Persuratan Baru.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini mengamati adanya polemik dan pertikaian tentang kualiti kandungan teks-teks
novel mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, sebagaimana yang terserlah dalam kajiankajian
ilmiah sedia ada. Di satu pihak, novel-novel yang dipilih sebagai teks dianggap
sesuai kerana menyampaikan ilmu, memaparkan nilai-nilai murni dan bertepatan dengan
matlamat pendidikan negara. Di pihak yang lain, novel-novel yang terpilih itu dikatakan
tidak mengandungi ilmu, serta memaparkan nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam
dan skema moral yang diperakukan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK),
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Sukatan Pelajaran
Kesusasteraan Melayu (SPKM). Dengan permasalahan ini, kajian ini menggariskan tiga
objektif, iaitu menganalisis isi kandungan novel-novel yang dipilih sebagai teks mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu, menghuraikan nilai-nilai yang dimanifestasikan dalam
novel-novel itu, dan menilai kandungan novel-novel yang berdasarkan gagasan
Persuratan Baru. Kajian ini meneliti lima novel teks mata pelajaran Kesusasteraan
Melayu dari tahun 1992 hingga kini, iaitu Mereka Yang Tertewas karya Hasanuddin Md.
Isa, Restu karya Ismail Kassan, Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rashid, Dari Lembah
Ke Puncak karya Ghazali Lateh dan Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan. Bagi
meneliti teks-teks ini, kajian menggunakan analisis teks sebagai metodologi kajian
dengan menerapkan Persuratan Baru (PB) sebagai kerangka analisis. PB menawarkan
alat-alat analisis yang praktikal bagi tujuan analisis teks iaitu “Paksi Naratif”, “Ruang
Naratif”, “Isian Wacana”, “Isian Cerita” dan “Taklif” (Kebertanggungjawaban manusia
dengan janji untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT). Dengan menerapkan alat-alat
analisis PB, kajian ini dapat memperincikan isi kandungan novel-novel yang dikaji.
Dalam konteks ini, kajian ini mendapati bahawa rata-rata novel yang dikaji memilih
kejahatan dan kelemahan manusia sebagai “Paksi Naratif”. “Paksi Naratif” sedemikian
didapati mempengaruhi pengisian “Ruang Naratif” novel-novel yang dikaji, yang ratarata
diisi dengan “Isian Cerita” melalui manipulasi dua alat penceritaan yang dominan,
iaitu aspek Watak dan aspek Plot. Isi kandungan novel yang sedemikian dengan
sendirinya menjadikan soal kejahatan dan tingkah laku tidak bermoral sebagai
manifestasi yang terserlah dengan ketara dalam novel-novel teks mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu yang dikaji. Seterusnya, kajian ini juga berhasil dalam
menghuraikan nilai-nilai yang diperagakan dalam novel teks mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu yang dikaji. Dalam konteks ini, teks-teks yang dikaji didapati
memperagakan nilai-nilai yang bukan sahaja bertentangan dengan Islam, tetapi turut
bercanggah dengan skema moral sejagat yang diperakukan dalam FPK, KBSM, dan
SPKM. Pemeragaan nilai-nilai negatif dan tidak bermoral ini jelas tidak
memanifestasikan fitrah kejadian manusia yang diciptakan dengan kecenderungan untuk
berbuat baik. Akhir sekali, kajian ini berpendapat bahawa isi kandungan lima novel yang
dikaji tidak berkualiti. Penilaian ini diasaskan pada penemuan bahawa isi kandungan
teks-teks yang dikaji memberi keutamaan kepada cerita berbanding ilmu dan lebih
menonjolkan nilai-nilai yang negatif dan jahat yang bertentangan dengan ajaran Islam
dan skema moral sejagat. Kajian ini diharap mampu menyumbang penyelesaian terhadap
permasalahan berkaitan kualiti kandungan teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |