Citation
Tazudin, Nor Aisyah Hafiza
(2021)
Manifestasi unsur eufemisme dalam novel Mental karya Shaz Johar berdasarkan Teori Medan Semantik.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat hari ini dilihat semakin rencam dari segi kekaburan penggunaan kosa kata. Penggunaan bahasa yang cacamarba serta kabur maknanya sehingga boleh disalahertikan sering berlaku bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa, malah juga golongan remaja. Medium seperti media sosial, media elektronik, malah juga media cetak seperti bahan berbentuk bacaan sama ada ringan atau berat, yang menjadi wahana sajian masyarakat hari ini menjadi salah satu faktor berlakunya kepincangan ini. Dalam dunia kebahasaan, banyak pilihan bentuk bahasa yang masih boleh digunakan dan lebih halus penyampaiannya untuk digantikan dengan perkataan-perkataan yang kasar bunyinya. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji telah menjalankan kajian berkaitan manifestasi unsur eufemisme dalam novel indie yang berjudul Mental karya Shaz Johar berdasarkan penerapan Teori Medan Semantik. Bertitik tolak daripada itu, pengkaji telah mengemukakan tiga objektif utama, iaitu (i) mengenal pasti kata fokus bagi unsur eufemisme dalam novel Mental karya Shaz Johar, (ii) menginterprestasi kata kunci yang mengelilingi setiap kata fokus yang dikenal pasti menerusi novel Mental karya Shaz Johar dan (iii) menghasilkan medan semantik unsur eufemisme berdasarkan novel Mental karya Shaz Johar. Kajian ini adalah berbentuk kualitatif. Bagi menganalisis data yang diperoleh, pengkaji telah mengaplikasikan Teori Medan Semantik S. Ullmann (1963) menerusi pendekatan model analisis Syed M. Naquib al-Attas (2001). Dapatan kajian ini mendapati bahawa perkataan berunsur eufemisme dapat diinterpretasikan maknanya menerusi pengenalpastian kata fokus dan penginterpretasian kata kunci hasil daripada pengaplikasian Teori Medan Semantik. Hasil dapatan kajian ini juga mendapati terdapat tiga kata focus utama yang dikenal pasti, iaitu (i) kata fokus “kekeluargaan”, (ii) kata fokus “gelaran” dan (iii) kata focus “peribahasa”. Di samping itu, terdapat 27 kata kunci yang telah diinterpretasikan sehingga membentuk jalinan perkaitan makna dan lingkungan konsepsi. Hasil daripada rangkuman empat aspek utama itu, medan semantik bagi setiap kata fokus akan terbentuk.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |