Citation
Abd Rahim, Nordiana
(2022)
Kesan Modul Kelompok Psikopendidikan ke atas kesejahteraan kewangan, efikasi pengurusan kewangan dan kelangsungan kerjaya dalam kalangan guru keterhutangan serius.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Isu keterhutangan merupakan satu masalah yang serius yang perlu diberi perhatian
kepada pengguna dan ekonomi negara terutamanya jika gagal melunaskan hutang
tersebut. Ini kerana, perkembangan trend dalam gelagat hidup bermewah yang terus
menular akan mengheret individu kepada tabiat berhutang yang buruk serta mendorong
kepada berlakunya masalah kewangan yang tenat. Oleh itu, kajian ini bertujuan
membina Modul Kelompok Psikopendidikan Teori Kognitif Sosial (MKPPTKS) dan
mengenal pasti kesannya bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan, efikasi
pengurusan kewangan dan kelangsungan kerjaya dalam kalangan guru keterhutangan
serius. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian eksperimental tulen di mana sampel
dipilih berdasarkan persampelan rawak kluster dan rawak berpasangan. Kumpulan
eksperimen telah menjalani intervensi MKPPTKS sebanyak 3 kali dalam tempoh 3
minggu bagi keseluruhan 15 aktiviti yang terdapat di dalam modul. Sebanyak 66 orang
responden telah dipilih sebagai sampel kajian di mana 33 orang merupakan kumpulan
eksperimen dan 33 orang merupakan kumpulan kawalan. Kumpulan eksperimen telah
dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil di mana setiap kumpulan telah diberi intervensi
MKPPTKS. Kajian ini menggunakan Instrumen Kesejahteraan Kewangan, Instrumen,
Efikasi Kendiri dan Instrumen Kerjaya. Namun begitu Instrumen Kerjaya meliputi
Minnesota Statisfaction Questionnaire (MSQ), Organizational Commitment
Questionnaire (OCQ) dan Work Performance Questionnaire (WPQ) yang telah dialih
bahasa dan diadaptasi mengikut norma di Malaysia. Data kajian dianalisis dengan
menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Statistik deskriptif digunakan bagi
mengenal pasti kesahan dan kebolehpercayaan MKPPTKS manakala statistik inferensi
dengan menggunakan ujian ANOVA, ujian T dan ujian ANCOVA bagi menganalisis
perbandingan antara pemboleh ubah dan kedua-dua kumpulan eksperimen dan
kawalan. Hasil kajian mendapati nilai pekali kebolehpercayaan Alpha Cronbach bagi
MKPPTKS adalah .912. Ini bermakna, MKPPTKS mempunyai kebolehpercayaan yang
tinggi dan boleh diterima untuk digunakan dalam kajian eksperimen. Selain itu, kajian
mendapati terdapat perbezaan yang signifikan p = <.05 antara ujian pra, ujian pos dan
ujian susulan antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan terhadap pemboleh
ubah kesejahteraan kewangan, efikasi pengurusan kewangan dan kelangsungan kerjaya
guru keterhutangan serius. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan bagi ujian pasca antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan bagi
ketiga-tiga pemboleh ubah tersebut. Kajian turut mendapati terdapat perbezaan yang
signifikan antara ujian pasca dan ujian susulan bagi ketiga-tiga pemboleh ubah.
Manakala tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian pasca dan ujian susulan
bagi sub skala komitmen dan sub skala prestasi. Pengkaji mencadangkan agar kajian
lanjutan dijalankan dengan melaksanakan ujian susulan dalam tempoh 3 bulan ke atas.
Selain itu, mengintegrasi teori-teori kaunseling seperti Rational Emotive Behaviour
Therapy, Solution Focus Brief Therapy, Realiti dan lain-lain ke dalam MKPPTKS.
Seterusnya, pengkaji menyarankan agar kutipan data secara kualitatif boleh dijalankan
agar dapat menyokong dan menguatkan lagi dapatan kajian.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |