Citation
Othman, Shamsudin
(2022)
Kefahaman, pelaksanaan dan kesesuaian kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kemahiran membaca merupakan kemahiran asas Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah. Peranan guru dalam pengajaran kemahiran membaca menerusi kaedah didik hibur perlu dipertingkat bagi menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan. Kebanyakan guru bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) kurang menguasai kemahiran dan kaedah berkesan bagi pengajaran kemahiran membaca. Bagi menangani isu ini, kaedah didik hibur wajar dimanfaatkan dalam pengajaran. Berdasarkan fenomena ini, pengkaji mengambil inisiatif meneroka kefahaman guru terhadap kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu di SJK. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan pelaksanaan kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu dan menganalisis kesesuaian aktiviti kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu. Penyelidikan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes ini dijalankan untuk mengenal pasti kefahaman, pelaksanaan dan kesesuaian kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu di SJK. Sampel kajian terdiri daripada enam orang guru bahasa Melayu dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Kajian ini melibatkan persampelan bertujuan dan penerokaan kes yang dikaji menggunakan pendekatan kajian satu kes di pelbagai lokasi yang dipilih memenuhi ciri-ciri tertentu berdasarkan objektif kajian. Data kajian diperoleh melalui kaedah triangulasi iaitu temu bual, pemerhatian PdP, dan analisis dokumen berkaitan. Data kajian dianalisis menggunakan perisian ATLAS.ti Versi 9.0. Dapatan kajian penerokaan menjelaskan bahawa kesemua guru bahasa Melayu mempunyai kefahaman yang umum terhadap didik hibur, kemahiran membaca dan matlamat didik hibur dalam kemahiran membaca. Kefahaman didik hibur yang dikenal pasti merangkumi konsep VAKT, dan ciri-ciri didik hibur seperti santai, aman, bebas, dan wujudnya pembelajaran yang menarik dan bersemangat. Seterusnya analisis dapatan kajian menghuraikan pelaksanaan kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu adalah bersesuaian dengan kemahiran membaca bahasa Melayu. Dapatan kajian menyatakan bahawa guru bahasa Melayu telah menggunakan didik hibur dalam PdP kemahiran membaca bahasa Melayu (70.83%) terutama dalam induksi set, langkah pengajaran dan penutup PdP. Namun demikian, didik hibur kurang dilaksanakan dalam sesi penilaian iaitu 9.72% sahaja. Analisis dapatan kajian bagi kesesuaian aktiviti kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu menjelaskan bahawa nyanyian (27.65%) dan permainan bahasa (27.65%) paling banyak dilaksanakan dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu. Demikian juga analisis kesesuaian penggunaan didik hibur dalam kemahiran membaca bahasa Melayu mendapati Standard Kandungan (SK) 2.2: Membaca dan memahami perkataan, frasa dan ayat daripada pelbagai sumber dengan sebutan yang betul, SK 2.3: Membaca kuat pelbagai bahan bacaan dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul dan SK 2.4: Membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan untuk memberi respons dengan betul didapati paling sesuai menggunakan kaedah didik hibur kemahiran membaca bahasa Melayu terutama kemahiran membaca mekanis. Dapatan kajian objektif kedua dan objektif ketiga mendapati Teori Skemata dan Model SAVI menyokong pengajaran guru dalam kemahiran membaca bahasa Melayu dengan membina skema baharu untuk selesaikan skema terdahulu dalam pembelajaran menyeronokkan (didik hibur) bagi pengekalan ingatan murid. VAKT yang terkandung dalam Model SAVI mewujudkan unsur-unsur yang menimbulkan rangsangan pembelajaran. Penemuan kajian menghasilkan kesimpulan bahawa pembelajaran berkesan berlaku apabila murid seronok yang seterusnya membawa kepada perkembangan kognitif murid. Perumusan implikasi kajian ini menekankan usaha ke arah meningkatkan kefahaman guru tentang konsep, ciri dan jenis didik hibur yang sesuai. Kajian ini memberi sumbangan dalam menyediakan maklumat empirikal yang terperinci tentang kesediaan guru bahasa Melayu untuk membuat penambaikan pelaksanaan kaedah didik hibur dalam pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu yang berkesan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |