Citation
Mamat, Mohd Roslin
(2023)
Keberkesanan program kepolisan komuniti dalam pencegahan jenayah di Ampang, Selangor, Malaysia.
Masters thesis, UPM.
Abstract
Program kepolisan komuniti yang dilaksanakan di sekitar kawasan kejiranan
bermatlamat mencegah kes-kes jenayah indeks membabitkan jenayah kekerasan dan
jenayah harta benda dalam kawasan kejiranan komuniti. Walau bagaimanapun,
penyertaan komuniti selaku penerima manfaat program kepolisan komuniti masih tidak
menggalakkan. Ini menimbulkan kebimbangan kepada PDRM selaku pelaksana program
kepolisan komuniti kerana dikhuatiri bahawa komuniti berkemungkinan tidak
memahami matlamat program kepolisan komuniti yang dianjurkan oleh PDRM. Objektif
kajian yang pertama bertujuan untuk meneroka kefahaman komuniti terhadap program
kepolisan komuniti dalam pencegahan jenayah. Kedua, kajian bertujuan untuk mengkaji
keberkesanan program kepolisan komuniti oleh polis dalam pencegahan jenayah. Ketiga,
kajian bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan program kepolisan
komuniti oleh komuniti dan polis dalam pencegahan jenayah.
Reka bentuk kajian kualitatif melalui pendekatan kajian kes digunakan untuk menemu
bual informan kajian. Informan kajian yang dipilih melalui strategi pensampelan
bertujuan melibatkan Anggota Kepolisan Komuniti (AKK) dan Pegawai Polis. Kajian
dilaksanakan di Kawasan Pentadbiran Balai Polis Taman Melawati Ampang. Teknik
pengumpulan data dilaksanakan menggunakan kaedah perbincangan kumpulan fokus
(PKF) melibatkan AKK dan temu bual mendalam melibatkan PP. Borang protokol temu
bual separa struktur digunakan sebagai panduan menemu bual informan. Data- data temu
bual dianalisis menggunakan teknik analisis tematik yang merangkumi tiga tema utama
iaitu kefahaman komuniti, keberkesanan program dan kekuatan dan kelemahan yang
berhubungkait dengan program kepolisan komuniti dalam pencegahan jenayah.
Hasil kajian objektif pertama menunjukkan bahawa AKK memahami matlamat program
kepolisan komuniti adalah untuk mencegah jenayah dalam kawasan kejiranan. Dari segi
penglibatan komuniti sebagai pemangkin program didapati bahawa golongan muda dan
belia terutama kurang tertarik untuk melibatkan diri secara sukarelawa sebagai AKK. Ini
mengakibatkan kerjasama strategik melalui rondaan tidak dapat dilaksanakan secara
berterusan kerana kejiranan enggan menyalurkan bantuan wang ringgit bagi membiayai
elaun rondaan kepada AKK bertugas. Rangkaian perkongsian maklumat oleh AKK
disalurkan melalui aplikasi media komunikasi seperti whatsapp, facebook group, papan
kenyataan masjid dan surau, pos pengawal AKK dan perkongsian maklumat bersama-
sama agensi penguatkuasa seperti PDRM dan RELA. Dapatan kajian tentang
keberkesanan program kepolisan komuniti oleh polis disokong dari segi langkah
pencegahan jenayah secara bersepadu, kekuatan anggota dan sumber manusia
menghapus peluang jenayah, mempunyai latihan yang mencukupi untuk memperkasa
komuniti dalam program dan menjadi penasihat komuniti dalam pelaksanaan program
kepolisan komuniti. Penemuan kajian tentang segi kekuatan program kepolisan komuniti
yang dikenal pasti ialah dari segi peranan penyelia selaku KPB yang proaktif, koordinasi
efektif pihak polis terhadap kawasan pentadbiran dan tempoh pengalaman bekerja bagi
Ketua Sektor di setiap kawasan. Melalui kajian ini juga didapati wujud kekurangan yang
memerlukan penambahbaikan iaitu dari segi gaya kepimpinan penyelia dalam menyelaras
sumber manusia yang tidak mencukupi, langkah untuk mengatasi kekangan aset dan
logistik dan komitmen Ketua Sektor terhadap penugasan rondaan yang perlu diperkasa.
Sebagai kesimpulannya, program kepolisan komuniti memerlukan jalinan perkongsian
maklumat dan kerjasama bersepadu antara orang awam selalu AKK dan pihak polis
selaku pelaksana program. Implikasi kajian memberi sumbangan input pengetahuan
baharu kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK),
PDRM untuk memperkasa aset dan logistik yang mencukupi berdasarkan keperluan dan
kehendak program kepolisan komuniti.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |