Citation
Abdul Aziz, Nor Aziah
(2020)
Penyediaan garis panduan slaid pembelajaran berdasarkan model Addie.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memartabatkan bahasa Melayu dengan
menjadikannya bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah serta di institusi
pengajian tinggi termasuklah Institut Pendidikan Guru (IPG). Masalah penggunaan
bahasa Melayu dilihat turut berlaku dalam kalangan pelajar IPG terutamanya dalam
slaid pembelajaran sebagai bahan bantu mengajar semasa sesi praktikum di sekolah.
Bagi mengatasi kesalahan bahasa ini, satu garis panduan slaid pembelajaran
diperlukan. Kajian ini merangkum tiga objektif, iaitu menganalisis kesalahan ejaan
dan morfologi dalam slaid pembelajaran bahasa Melayu, menganalisis kesalahan
sintaksis dalam slaid pembelajaran bahasa Melayu berdasarkan Tatabahasa Dewan
Edisi Ketiga (2015) dan menyediakan garis panduan slaid pembelajaran bahasa
Melayu berlandaskan Model ADDIE. Kaedah penyediaan garis panduan ini
berpandukan Model ADDIE yang mencakup lima fasa, iaitu Analisis, Reka Bentuk,
Pembangunan, Pelaksanaan dan Penilaian. Metodologi yang digunakan ialah kaedah
kualitatif dan melibatkan 30 orang responden jurusan bahasa Melayu. Data
dikumpulkan melalui analisis kesalahan bahasa dalam slaid pembelajaran, temu bual
dan soal selidik. Pendekatan Analisis Kesalahan Bahasa telah digunakan dengan
merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga
(2015). Hasil dapatan menunjukkan pelajar telah melakukan tujuh kesalahan ejaan
dan 28 kesalahan morfologi. Bagi kesalahan sintaksis pula, pelajar melakukan
sebanyak 27 kesalahan. Setelah responden menggunakan garis panduan slaid
pembelajaran, kesalahan ejaan, morfologi dan sintaksis telah menunjukkan
penurunan, iaitu tiada kesalahan ejaan, tujuh kesalahan morfologi dan sembilan
kesalahan sintaksis. Peratus penambahbaikan untuk ejaan ialah 100%, morfologi
79% dan sintaksis 67%. Peratus keseluruhan penambahbaikan ialah 76%, iaitu 15
kesalahan sahaja. Analisis indeks Cohen Kappa untuk pengesahan pakar garis
panduan berada pada skala sangat baik, iaitu K = 0.85 dan peratus persetujuan pakar
ialah 92%. Kesimpulannya, garis panduan ini dapat membantu meningkatkan
pemahaman tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |