Citation
Subban, Suvarmani
(2021)
Pelaksanaan e-pembelajaran dalam persekitaran sosial dan budaya sekolah transformasi (TS25) di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan bahawa kira-kira 80% guru
menghabiskan kurang dari satu jam seminggu untuk mengintegrasikan e-pembelajaran.
Kajian terkini di Malaysia juga menunjukkan tahap pelaksanaan e-pembelajaran dalam
kalangan guru di sekolah masih tahap rendah. Setiap tahun, Bahagian Sumber dan
Teknologi Pendidikan (BSTP) mengeluarkan senarai sekolah dengan tahap integrasi epembelajaran
yang berbeza, antara 1 bintang (terendah) hingga 5 bintang (tertinggi)
untuk menggambarkan pelaksanaan integrasi e-pembelajaran di setiap sekolah.
Walaupun Malaysia telah menjejaki tahun 2020 yang dikenali sebagai era digital,
literatur menunjukkan bahawa pelaksanaan integrasi e-pembelajaran dalam kalangan
guru masih tidak memuaskan dan seharusnya tercapai pada tahap 5 bintang. Namun,
‘Wawasan 2020’ tidak berlaku seperti yang diharapkan kerana banyak sekolah yang
berada di bawah tahap 3-bintang. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memahami
bagaimana sekolah yang mencapai tahap 5 bintang melaksanakan e-pembelajaran
dalam kalangan guru di Malaysia.
Bagi memahami pelaksanaan integrasi e-pembelajaran dalam kalangan guru dalam
persekitaran sosial dan budaya sekolah, kajian ini menggunakan Teori Aktiviti Budaya
dan Sejarah (TABS). Selain TABS, penyelidik berpandukan tiga persoalan kajian: 1)
apakah cabaran dan penyebab cabaran oleh warga sekolah bagi menyokong guru dalam
pelaksanaan integrasi e-pembelajaran? 2) bagaimanakah penyelesaian cabaran oleh
warga sekolah bagi menyokong guru dalam pelaksanaan integrasi e-pembelajaran? dan
3) bagaimanakah warga sekolah menyokong guru dalam pelaksanaan integrasi epembelajaran?.
Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif dengan pendekatan
kajian kes tunggal. Kaedah utama pengumpulan data ialah temu bual mendalam bagi
menjawab tiga persoalan kajian. Temu bual dilakukan dengan pengetua, penyelaras
TMK, ketua panitia, guru TMK, dan guru di sekolah pilihan untuk mengumpulkan
pelbagai perspektif mengenai pengalaman warga sekolah. Penyelidik mengurus dan
menganalisis data menggunakan perisian ATLAS.ti, dan TABS juga mendasari kajian ini untuk memahami aktiviti warga sekolah dalam menyokong guru untuk
mengintegrasikan e-pembelajaran.
Dapatan persoalan kajian pertama menghasilkan dua tema yang mewakili cabaran dan
penyebab cabaran, iaitu: 1) infrastruktur e-pembelajaran di sekolah terhad disebabkan
kekangan kewangan dan 2) kegagalan mematuhi peraturan sekolah disebabkan
kekangan masa. Persoalan kajian kedua juga menghasilkan dua tema yang mewakili
penyelesaian cabaran, iaitu,: 1) ‘prestasi dibantu’ oleh warga sekolah bagi
menyelesaikan cabaran di sekolah; dan 2) ‘perkongsian idea’ oleh warga sekolah bagi
menyelesaikan cabaran di sekolah. Bagi persoalan kajian ketiga, lima kategori bagi
memahami warga sekolah menyokong pelaksanaan integrasi e-pembelajaran di sekolah
ialah: 1) membentuk hala tuju sekolah, 2) gaya kepemimpinan pemimpin di sekolah, 3)
kaedah membuat keputusan oleh warga sekolah, 4) pemantauan dan penyeliaan oleh
pemimpin di sekolah, dan 5) memupuk kerja berpasukan. Dua tema yang mewakili
dapatan baharu bagi kajian ini ialah: 1) kepercayaan dan motivasi dan 2) keengganan
untuk berubah.
Kesimpulannya, warga sekolah berusaha menyelesaikan cabaran dengan menanamkan
kerja berpasukan bagi menyokong guru dalam mengintegrasikan e-pembelajaran.
‘Prestasi dibantu' dan ‘perkongsian idea’ ialah penyelesaian 'cabaran’ oleh warga
sekolah untuk menyokong guru dalam melaksanakan integrasi e-pembelajaran.
Pemimpin sekolah, terutama pengetua, telah memainkan peranan utama dalam
merancang strategi untuk menyokong pelaksanaan integrasi e-pembelajaran dalam
kalangan guru dengan mengurus dan memindahkan visi dan misi integrasi epembelajaran
secara berterusan kepada warga sekolah. Usaha dari komuniti sekolah,
termasuk PIBG, alumni, dan pengeluar teknologi, memudahkan sekolah dari segi
sokongan kewangan dan kepakaran. Walaupun skop kajian ini ialah terhad namun dapat
memberi panduan penting untuk kejayaan pelaksanaan integrasi e-pembelajaran yang
dapat dikongsi oleh sekolah-sekolah lain yang mempunyai ciri-ciri dan persekitaran
yang sama.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |