UPM Institutional Repository

Penglibatan, modal insan dan pendayaupayaan komuniti dalam kalangan peserta Yayasan Sejahtera di Malaysia


Citation

Mohd Salim, Sara Shakilla (2021) Penglibatan, modal insan dan pendayaupayaan komuniti dalam kalangan peserta Yayasan Sejahtera di Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Pembangunan komuniti berfokuskan kepada elemen pendayaupayaan sebagai fokus utama di mana ia merupakan satu proses aktif yang mengizinkan individu mahupun komuniti berkeupayaan bertindak untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Pada amnya, penglibatan komuniti dalam projek didorong oleh faedah yang dijangka diperolehi dalam meningkatkan keupayaan dan memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti dan meneroka hubungan dalam penglibatan dan pendayaupayaan komuniti projek Yayasan Sejahtera di samping mengkaji peranan modal insan sebagai mediator kajian. Kajian yang berfokuskan kepada penglibatan ini terdiri daripada pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah sebagai ramalan kepada pendayaupayaan yang terdiri daripada tiga dimensi iaitu ekonomi, sosial dan psikologi. Manakala bagi modal insan pula merangkumi tiga elemen iaitu pengetahuan, kemahiran dan kebolehan. Sebanyak 305 orang responden terdiri daripada peserta projek Yayasan Sejahtera telah dipilih berdasarkan persampelan berstrata yang dibahagikan mengikut negeri, daerah dan kumpulan projek. Statistik deskriptif digunakan sebagai langkah pertama dalam menghuraikan ciri demografi responden kajian ini. Sementara itu, ujian Manova pula dilaksanakan bagi menentukan perbezaan faktor pendayaupayaan (ekonomi, sosial dan psikologi) berdasarkan tempoh penglibatan peserta. Seterusnya kajian ini juga mengkaji hubungan antara ketiga-tiga peringkat penglibatan dengan kesemua dimensi pendayaupayaan menggunakan analisis korelasi Pearson. Manakala bagi ujian statistik inferensi menggunakan Model Persamaan Struktural atau SEM dianalisa menggunakan perisian PLS-SEM 13 dalam mengkaji pengaruh penglibatan (pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah) sebagai peramal ke atas pendayaupayaan (ekonomi, sosial dan psikologi). Selain itu, peranan mediator modal insan juga dianalisis menggunakan perisian tersebut dengan teknik analisis bootstapping. Hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang tinggi dan signifikan antara pelaksanaan dan penerimaan faedah dengan pendayaupayaan ekonomi dan pendayaupayaan sosial dan hubungan yang sederhana dan signifikan antara pembuatan keputusan dengan pendayaupayaan ekonomi dan pendayaupayaan sosial dan juga hubungan yang sederhana dalam pembuatan keputusan dan penerimaan faedah dengan pendayaupayaan psikologi. Sementara itu, bagi hubungan pelaksanaan dengan pendayaupayaan psikologi pula menunjukkan hubungan signifikan yang rendah. Dapatan kajian dalam analisis regresi pelbagai pula menunjukkan pendayaupayaan ekonomi dihubungkan dengan penerimaan faedah dan modal insan sebanyak 44% varians, manakala bagi pendayaupayaan sosial pula dihubungkan oleh penerimaan faedah dengan varians 44% dan seterusnya bagi pendayaupayaan psikologi pula yang dihubungkan dengan modal insan sebagai peramal tunggal dengan varians sebanyak 37%. Keputusan menunjukkan penerimaan faedah merupakan peramal yang paling penting dalam mempengaruhi pendayaupayaan ekonomi dan sosial komuniti. Selain itu, bagi ujian mediator pula mendapati peranan modal insan sebagai penghubung antara pelaksanaan dan penerimaan faedah dengan pendayaupayaan ekonomi dan juga pendayaupayaan psikologi. Peranan mediator diuji dalam hubungan penglibatan dan pendayaupayaan untuk menyokong teori serta kajian lepas berkaitan hubungan modal insan dengan variabel-variabel tersebut. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menyokong bahawa penglibatan ditambahkan lagi dengan modal insan mampu untuk mempengaruhi pembentukan pendayaupayaan komuniti. Implikasi kajian menunjukkan penglibatan perlu lebih berfokuskan dalam pelbagai peringkat dalam membentuk pendayaupayaan komuniti yang lebih bersifat komprehensif. Penemuan hasil kajian ini juga dapat menyumbang dan memperluaskan lagi pemahaman dalam konteks pendayaupayaan komuniti terutama berdasarkan projek komuniti khusunya dalam konteks projek Tanggungjawab Sosial Korporat (TSK). Terdapat beberapa cadangan daripada hasil kajian untuk meningkatkan pendayaupayaan komuniti terutama dalam projek komuniti agar lebih efektif dan memberi kesan dalam membawa perubahan hidup yang lebih baik dan bersifat mampan.


Download File

[img] Text
SARA SHAKILLA - IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Community organization - Malaysia
Subject: Community development - Malaysia
Subject: Social participation - Malaysia
Call Number: FEM 2022 19
Chairman Supervisor: Prof. Asnarulkhadi Abu Samah, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 05 Oct 2023 03:02
Last Modified: 05 Oct 2023 03:02
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/104710
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item