UPM Institutional Repository

Modal psikologi sebagai penyederhana dalam hubungan antara faktor kerja, keadilan organisasi, sokongan sosial dan gelagat kewarganegaraan organisasi dalam kalangan kakitangan institusi pengurusan haji


Citation

Hassan, Noraidah (2021) Modal psikologi sebagai penyederhana dalam hubungan antara faktor kerja, keadilan organisasi, sokongan sosial dan gelagat kewarganegaraan organisasi dalam kalangan kakitangan institusi pengurusan haji. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini telah direka bentuk bagi memahami fenomena Gelagat Kewarganegaraan Organisasi (GKO) yang dikatakan masih kekal relevan untuk dikaji walaupun ia telah banyak dibincangkan dalam bidang pembangunan organisasi. Hal ini disebabkan oleh sifat organisasi yang sering berubah dan perlu sentiasa berdaya saing. Di sini, pekerja yang berinisiatif dalam melaksanakan fungsi organisasi melebihi tugasan formal sangat diperlukan. Dalam konteks kajian GKO, kajian-kajian yang lalu telah membuktikan bahawa modal psikologi merupakan sumber individu yang boleh bertindak sebagai penyederhana antara GKO dan faktor-faktor peramal GKO. Namun demikian, ia kurang mendapat perhatian dalam kalangan para penyelidik. Oleh itu, kajian ini mengkaji tentang pengaruh tiga jenis faktor utama iaitu faktor keadilan organisasi (keadilan distributif, keadilan prosedur, keadilan interaksi), faktor sokongan sosial (sokongan organisasi, sokongan penyelia, sokongan rakan sekerja) dan faktor beban kerja terhadap GKO. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan mengenal pasti adakah modal psikologi memberi kesan sebagai penyederhana dalam hubungan antara faktor keadilan organisasi, faktor sokongan sosial dan faktor beban kerja dengan GKO. Kajian ini menggunakan Teori Permintaan-Sumber Kerja (TPSK) sebagai asas teori bagi memahami konsep GKO. Kerangka kajian ini kemudiannya dikembangkan lagi dengan sokongan Teori Pemuliharaan Sumber untuk memahami dengan lebih mendalam tentang sumber individu yang dimiliki oleh manusia dan kesannya dalam menentukan tingkah laku GKO. Menurut Teori TPSK, GKO merupakan satu tingkah laku sukarela dalam organisasi yang berlaku disebabkan oleh faktor keadaan pekerjaan. Di sini, keadaan pekerjaan yang terdiri daripada sumber pekerjaan (faktor keadilan organisasi dan sokongan sosial) dan permintaan pekerjaan (faktor beban kerja) memainkan peranan penting kerana tingkah laku individu boleh berubah disebabkan faktor tersebut. Selain itu, penyelidik dalam bidang tingkah laku juga menekankan bahawa modal psikologi merupakan elemen peribadi yang boleh menggalakkan tingkah laku positif di tempat kerja apabila berhadapan dengan pelbagai situasi. Oleh yang demikian, kajian ini mengusulkan bahawa modal psikologi dapat berfungsi dengan baik sebagai penyederhana dalam hubungan antara faktor persekitaran dan tingkah laku GKO kerana ia dapat menentukan bagaimana individu bertindak balas terhadap persekitaran tersebut. Kajian ini telah dijalankan di Tabung Haji (TH) menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk penyelidikan deskriptif dan korelasi serta kajian keratan rentas. Soal selidik berstruktur telah digunakan dalam pengumpulan data yang diperoleh dari 250 orang pekerja TH di ibu pejabat dan cawangan negeri yang terpilih. Seterusnya, sampel dipilih berdasarkan prosedur pensampelan rawak berstrata mengikut nisbah. Data kajian ini pula dianalisis menggunakan Permodelan Persamaan Struktur (atau SEM-AMOS). Hasil kajian menunjukkan bahawa hanya faktor keadilan distributif, sokongan penyelia dan beban kerja dapat mempengaruhi GKO para pekerja di TH. Tambahan pula, modal psikologi pula hanya bertindak sebagai penyederhana dalam hubungan antara keadilan distributif, sokongan penyelia, sokongan rakan sekerja dan beban kerja dengan GKO. Kesimpulannya, hasil kajian ini dilihat separa menyokong kerangka teori yang dicadangkan di mana GKO boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor yang berbeza berdasarkan keadaan pekerjaan dan modal psikologi merupakan penyederhana dalam fenomena GKO. Hasil kajian ini memberi implikasi kepada teori dengan membangunkan satu rangka kajian yang menggabungkan beberapa faktor yang berbeza. Faktor ini terdiri daripada permintaan pekerjaan sebagai faktor fizikal, sumber pekerjaan sebagai faktor organisasi dan faktor sosial serta sumber peribadi dalam satu model kajian. Selain itu, secara praktikal, kajian ini boleh dijadikan asas kepada pengamal PSM untuk merangka dasar atau polisi yang sesuai dalam mewujudkan persekitaran kondusif yang menggalakkan perlaksanaan GKO. Kajian ini juga mencadangkan bahawa adalah penting untuk organisasi memberi penekanan kepada aspek yang mempengaruhi GKO kerana ia boleh menjadi salah satu inisiatif yang boleh menyokong pelan perubahan yang dilaksanakan oleh sesebuah organisasi. Di samping itu, kajian ini juga mencadangkan supaya kajian masa hadapan mengambil kira faktor-faktor lain sebagai peramal yang boleh mempengaruhi GKO memandangkan hasil kajian ini tidak sepenuhnya menyokong model kajian yang dibina.


Download File

[img] Text
NORAIDAH BINTI HASSAN - IR.pdf

Download (4MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Organizational behavior
Subject: Muslim pilgrims and pilgrimages - Societies, etc
Call Number: FPP 2022 10
Chairman Supervisor: Profesor Madya Khairuddin Idris, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 07 Sep 2023 08:00
Last Modified: 07 Sep 2023 08:00
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/104617
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item