Citation
Abd Aziz, Zaharah
(2021)
Hubungan antara motivasi belajar dan pembelajaran berasaskan kompetensi dengan kompetensi rekaan fesyen dalam kalangan pelajar kolej vokasional di Semenanjung Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (PTV) dikaitkan dengan melahirkan graduan yang berdaya saing dengan kemahiran yang dipelajari. Justeru itu, PTV mengamalkan kaedah pendidikan dan latihan yang menyediakan individu dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk berjaya dalam dunia pekerjaan dan menekankan amalan industri. Kerajaan Malaysia menganggarkan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu berkaitan PTV diwujudkan dalam pelbagai sektor utama ekonomi negara menjelang 2020, termasuk Sektor Industri Seni Reka Fesyen. Namun begitu Pelan Pembangunan Pekerjaan Siswazah Nasional 2012-2017 melaporkan wujud jurang diantara kompetensi yang diperlukan di industri dengan kompetensi yang diperolehi pelajar di institusi pendidikan. Terdapat rungutan daripada majikan yang menyatakan graduan seni reka fesyen masih rendah dalam mempraktikkan kompetensi yang dipelajari di institusi pendidikan di tempat kerja. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk menentukan hubungan antara motivasi belajar dan pembelajaran berasaskan kompetensi (PBK) dengan kompetensi rekaan fesyen dalam kalangan pelajar Program Seni Reka Fesyen Kolej Vokasional di Semenanjung Malaysia. Kajian ini juga untuk menentukan tahap pemboleh ubah motivasi belajar dan PBK serta kompetensi rekaan fesyen. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan rekabentuk kolerasi. Data kajian dikumpul menggunakan soal selidik dan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 23.0. Kajian dilaksanakan ke atas 200 pelajar Diploma Program Seni Reka Fesyen KV di Semenanjung Malaysia. Hasil dapatan menunjukkan pelajar seni reka fesyen memiliki kemahiran rekaan fesyen yang sederhana (Min=2.88,
SP=.43) manakala skor pengetahuan rekaan fesyen pula berada pada tahap pencapaian kepujian. Namun didapati sikap pelajar Program Seni Reka Fesyen berada pada tahap yang tinggi (Min=3.96, SP=.46). Tahap motivasi belajar pelajar Program Seni Reka Fesyen berada pada tahap yang tinggi (Min= 4.05, SP=.30) manakala tahap pelaksanaan dan penguasaan PBK dikalangan pelajar Diploma Seni Reka Fesyen pula berada pada tahap yang sederhana (Min=3.08, SP=.35). Hasil analisis kajian ini juga mendapati terdapat hubungan yang kuat dan signifikan (r =.542, p< .005) di antara PBK dengan kemahiran rekaan fesyen. Motivasi belajar pula menunjukkan hubungan yang lemah dan signifikan (r = .249, p < .005) dengan kemahiran rekaan fesyen pelajar. Namun begitu pemboleh ubah motivasi belajar (r = .373, p < .005) dan PBK (r = .509, p < .005) mempunyai hubungan yang sederhana dan signifikan dengan sikap pelajar Program Seni Reka Fesyen. Dapatan kajian ini menunjukkan motivasi dan PBK yang dilaksanakan di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mempunyai hubungan dengan penguasaan kompetensi rekaan fesyen pelajar Program Seni Reka Fesyen KV. PBK pula merupakan faktor peramal bagi kompetensi pelajar seni reka fesyendengan varian perubahan sebanyak 38.4%. Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi, PBK dan motivasi belajar perlu berada dalam sistem pendidikan teknik dan vokasional. Kedua-dua pemboleh ubah ini mampu memberi impak kepada kecemerlangan pelajar. Pihak pengurusan Kolej Vokasional dan guru perlu memberi motivasi secara berterusan kepada pelajar. Guru juga memerlukan sokongan daripada pihak pengurusan KV untuk tingkatkan pengetahuan dan kemahiran mengenai PBK bagi melahirkan pelajar yang berkompetensi. Selain itu, Pelaksanaan PBK amat sesuai dilaksanakan di KV dan perlu penambahbaikan dari semasa ke semasa. Guru dan pelajar perlu bekerjasama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan agar pelajar sentiasa kompeten di dalam kursus yang dipelajari. Sokongan semua pihak terhadap sistem pendidikan KV mampu melahirkan pelajar yang kompeten dan bersahsiah tinggi dan berdaya saing. Di samping itu juga pihak pengurusan KV harus ada hubunganan yang berterusan dengan industri agar segala yang dipelajari di KV standing dengan kompetensi yang diperlukan oleh industri.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |